Tumpuan :
Nasional

KSP RMK12: Model Gaji Progesif sasar gaji, produktiviti & kemahiran rakyat naik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan langkah berani untuk memperkenalkan model gaji progresif yang memberikan manfaat bukan sahaja kepada golongan pekerja tetapi juga majikan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dasar ini melibatkan peningkatan gaji, kemahiran dan produktiviti pekerja, manakala majikan akan memperoleh faedah daripada peningkatan produktiviti, kesetiaan pekerja dan daya saing syarikat.

Tambahnya, ketidakpadanan kemahiran, tahap gaji rendah dan peningkatan produktiviti yang perlahan merupakan isu-isu pokok yang  sekian lama menghalang keupayaan Malaysia untuk beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

“Ikhtiar akan dipergiat untuk menstrukturkan semula pasaran buruh dan memperkukuhkan sistem pendidikan bagi menyediakan bakat tersedia pada masa hadapan.

“Anjakan utama Ketersediaan Bakat Masa Hadapan akan dilaksanakan berkaitan dengan gaji, levi pekerja asing dan kemahiran yang berterusan, “kata Perdana Menteri semasa membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan akan melaksanakan levi untuk pelbagai peringkat dalam masa terdekat bagi memastikan peluang pekerjaan untuk warga tempatan dan peralihan kepada automasi dan mekanisasi, kebijakan pekerja asing tidak melebihi 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja akan diteruskan.

Kerajaan juga akan mempergiat usaha untuk memastikan kadar penyertaan tenaga pekerja wanita mencapai sasaran 60 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Langkah untuk menggalakkan wanita kekal atau kembali bekerja akan ditingkatkan melalui penyediaan kemudahan dan sokongan yang diperlukan, seperti penjagaan anak, insentif kewangan dan waktu bekerja fleksibel.

Antara program yang dilaksana termasuk inisiatif MamaCare, insentif pusat jagaan kanak-kanak mampu bayar, Career Come Back Programme dan subsidi yuran taska di tempat kerja.

Loading...
Terkini