KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyemarakkan sambutan Deepavali dengan mengedarkan 1,400 pek kepada penumpang di Stesen KL Sentral dan Stesen Butterworth.
Program Edaran Pek Deepavali 2024 itu sebagai tanda penghargaan kepada penumpang khasnya perkhidmatan Antarabandar & KTM Komuter.
Pada program itu, sebanyak 1,000 pek diagihkan kepada penumpang perkhidmatan ETS dan KTM Komuter di Kl Sentral, manakala 400 pek lagi diserahkan kepada penumpang KTM Utara di Stesen Butterworth.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada penumpang yang terus mempercayai dan memilih perkhidmatan rel sebagai mod pengangkutan utama.
“Sempena musim perayaan dan cuti sekolah ini, kami menasihatkan penumpang agar KTMB tiba lebih awal di stesen bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan urusan pemeriksaan di pintu masuk berjalan dengan lancar serta selesa.
“Di kesempatan ini juga, kami mengucapkan selamat menyambut hari Deepavali bagi yang menyambutnya dan selamat bercuti kepada semua,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan; Ahli Lembaga Pengarah KTMB, Datuk Mohamed Amin Mohd Kassim, Abd Razak Md Hassan.
Mohd Rani berkata sebanyak 3,395 tiket sudah habis terjual untuk tren ETS tambahan bagi laluan pergi dan balik KL Sentral – Padang Besar untuk memenuhi permintaan yang tinggi sempena musim perayaan dan cuti panjang yang bermula 30 Oktober sehingga 3 November ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.