HOME / Nasional

Kuarantin wajib di rumah mulai esok

KUALA LUMPUR: Individu baru pulang dari luar negara dan disahkan negatif COVID-19 perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah masing-masing apabila pusat kuarantin di hotel ditutup bermula esok.

Menteri Pertahanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebelum ini mereka perlu menjalani kuarantin wajib di lokasi dikhaskan kerajaan, sebelum dibenar pulang ke rumah.

“Mulai esok, 10 Jun, akan bermula kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing selepas mendapat keputusan negatif saringan COVID-19.

“Pusat kuarantin di hotel juga akan mula ditutup,” katanya pada sidang media harian, hari ini.

Beliau memaklumkan seramai 51,347 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara sudah dikuarantin wajib sejak 3 April lalu.

Katanya, seramai 41,509 individu sudah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang setakat hari ini.