comscore
Tumpuan :
Nasional

Kuarters guru hangus dalam kebakaran

Anggota bomba memadam kebakaran yang memusnahkan dua kuarters guru di SK Nanga Tajam, Selangau, malam tadi. – Foto ihsan JBPM

KUCHING: Kuarters dua guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Tajam, di Selangau kira-kira 600 kilometer dari sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.52 malam.

Beliau berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan satu blok kuarters yang mempunyai dua unit kediaman guru, jenis tidak kekal dan terbakar 100 peratus”

“Seorang penghuni berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan manakala seorang lagi penghuni tiada di rumah ketika kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman terpaksa menggunakan sumber air sungai berdekatan berikutan ketiadaan pili bomba di sekolah berkenaan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan lanjut,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini