Kuala Lumpur: Kelemahan dalam kutipan sewa kuarters kerajaan di Putrajaya dipercayai menjadi punca ketirisan hasil berjumlah RM1.66 juta kepada kerajaan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2.
Berdasarkan laporan dikeluarkan semalam, kerugian terbabit merangkumi sewa kuarters RM1.16 juta yang tidak dikutip terhadap penghuni yang menduduki kuarters bagi tempoh antara 12 hingga 179 bulan, iaitu seawal 2007.
Semakan audit juga mendapati, kutipan sewa kuarters tidak diselaraskan dengan gred jawatan penghuni dan lokasi pejabat penghuni menyebabkan ketirisan hasil berjumlah RM0.5 juta.
“Perkara ini berlaku kerana kegagalan penghuni memaklumkan ketiadaan potongan gaji bagi bayaran sewa kuarters, menyediakan penyata kewangan tidak tepat dan tiada semakan status pendudukan kuarters bagi pegawai bertukar,” menurut laporan pengauditan berkaitan pematuhan kementerian dan jabatan persekutuan itu.
Justeru, bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan kewangan, pihak audit mengesyorkan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri agar mengambil beberapa tindakan.
Ia termasuk memastikan Daftar Penghuni Kuarters diselenggara dengan lengkap dan kemas kini, dan dikongsikan kepada kementerian secara berkala supaya kutipan pulangan balik Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) penghuni dapat dipantau.
Pihak audit juga menyarankan kementerian agar membuat hebahan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran pegawai terhadap tanggungjawab masing-masing untuk memaklumkan sebarang kesilapan dalam pembayaran emolumen. – HARIAN METRO