IPOH: Seorang warga emas tidak serik sudah tiga kali diambil tindakan termasuk didakwa mahkamah, namun terus menyimpan sampah di rumahnya di Taman Ipoh, di sini, sehingga menyebabkan kacau ganggu penduduk sekitar.
Semalam, warga emas berusia 70-an itu diambil tindakan buat kali keempat oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
MBI dalam kenyataan berkata, tindakan diambil selepas warga emas yang juga pemilik rumah berkenaan berulang kali meneruskan aktiviti mengumpul barangan kitar semula dan menyimpannya dalam kawasan halaman rumah kediaman teres satu tingkat sehingga menjadi kacau ganggu persekitaran kepada penduduk di kawasan sekitar.
Menurutnya, operasi yang bermula jam 8.30 pagi dijalankan selama empat jam tanpa sebarang insiden apabila pemilik premis itu memberikan kerjasama kepada MBI untuk membersihkan kacau ganggu terbabit yang dianggarkan seberat 0.7 tan metrik.
“Kita memindahkan sampah sarap seperti plastik, kertas, besi dan kayu dengan berat sebanyak 710 kilogram (kg).
“Pemilik ini pernah diambil tindakan mahkamah sebanyak dua kali dan dijatuhi hukuman denda dalam tempoh empat tahun, sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, semua barangan kitar semula itu kemudiannya dihantar ke Pusat Kitar Semula di Kawasan Perindustrian IGB dengan persetujuan pemilik dan pihak majlis.
“Pihak syarikat kitar semula kemudiannya membayar kepada pemilik sejumlah wang mengikut berat bahan kitar semula.
“Pemilik premis juga dinasihatkan untuk berhubung secara terus dengan syarikat kitar semula pada masa akan datang untuk mengelakkan barangan kitar semula dikumpul semula sehingga menjadi kembali kacau ganggu kepada orang awam.
“Sekiranya perkara ini masih berlanjutan, pihak MBI tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan perundangan yang lebih tegas pada masa akan datang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.