comscore
Tumpuan :
Nasional

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah

MADINAH: Sebanyak 282 jemaah haji yang menaiki penerbangan pertama (KT1) dari Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di sini pada Khamis.

Mereka yang terdiri daripada 115 jemaah lelaki dan 167 wanita itu tiba dengan pesawat Malaysia Airlines MH8050 pada 4.10 pagi waktu tempatan sebelum dibawa dengan menaiki bas ke zon penginapan mereka di Hotel Emaar Royal.

Ketibaan rombongan jemaah berkenaan disambut Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah Roslan Sharif.

Turut hadir, pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) terdiri daripada Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan Mohamed Heikal Mohamed Yusuff dan Pengarah Operasi Madinah Ashrof Shamsuddin, serta petugas TH untuk musim 1445H/2024.

Bas yang membawa kesemua jemaah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, tiba di hotel itu pada 6.30 pagi waktu tempatan.

Pada masa yang sama, Roslan menasihati semua jemaah haji Malaysia supaya sentiasa bergerak secara berkumpulan demi keselamatan mereka, selain mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh TH dari semasa ke semasa.

Beliau juga menyarankan supaya jemaah haji dapat terus menjaga kesihatan diri, minum air secukupnya dan amalkan diet yang seimbang sepanjang berada di Tanah Suci.

Roslan turut mendoakan semua urusan TH dipermudah dan dapat memberikan perkhidmatan terbaik serta semua jemaah mendapat haji yang mabrur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini