comscore
Tumpuan :
Nasional

Kumpulan terakhir Malbatt 850-10 tiba di tanah air

Foto: NSTP

SHAH ALAM: Kumpulan terakhir Batalion Malaysia (Malbatt) 850-10 di Lubnan di bawah misi United Nations Interim Force In Labenon (UNIFIL) selamat tiba di tanah air hari ini.

Ketibaan mereka disambut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman selain turut dihadiri Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Kumpulan ini berdepan cabaran getir susulan peperangan Israel- Palestin yang meletus 7 Oktober lalu.

Dua kem yang menempatkan kumpulan disertai 218 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanya terletak antara 12 hingga 25 kilometer dari sempadan Lubnan-Israel sekali gus mengancam keselamatan mereka.

Foto: NSTP

Berkongsi pengalaman, Ketua Kontinjen Malbatt 850-10, Kolonel Mohd Rizman Ramli berkata, bunyi letupan termasuk artileri amat jelas kedengaran.

“Hampir setiap hari kami boleh dengar bunyi letupan dan situasi itu sedikit sebanyak menjejaskan operasi serta pergerakan keluar anggota. Aktiviti rondaan kenderaan juga terpaksa dihadkan bergantung kepada situasi semasa.

“Jika berlaku serangan, kami diarahkan tidak keluar dari kawasan kem kerana kedudukan kem yang terletak hampir dengan sempadan.

“Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan moral semua pegawai dan anggota dalam menjalankan tugas. Bagi saya keselamatan setiap anggota amat penting,” katanya.

Kumpulan keempat yang tiba ini termasuk dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) diatur gerak pulang ke Malaysia selepas tamat melaksanakan penugasan UNIFIL di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama 12 bulan bermula 27 Oktober tahun lalu.

Bagi Laskar Udara I (Wanita) Nur Ameylya Natasha Asral, 24, berkata pengalaman pertama bertugas di luar negara dan melalui krisis peperangan itu pastinya mendatangkan perasaan bimbang terhadap keselamatan.

Namun, pembantu am komander itu berkata, ia tidak mematahkan semangat untuk terus melaksanakan tanggungjawab dan tugas pengaman.

“Apabila mendengar letupan, sudah tentu saya risau dan fikirkan keluarga tapi ada tanggungjawab besar sebagai pengaman. Saya tolak tepi perasaan itu dan teruskan amanah diberikan.

“Kami sudah dilatih untuk kekal selamat dan terkawal walaupun dalam keadaan tidak boleh dijangka. Saya belajar untuk bersedia dalam apa jua keadaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setahun bersama pasukan Malbatt di Lubnan memberikan pengalaman manis selain dapat mempelajari budaya serta kehidupan penduduk di negara itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini