comscore
Tumpuan :
Nasional

Kumulatif kes demam denggi meningkat 226 peratus

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-3 tahun ini (ME 3/2023) bagi tempoh 15 hingga 21 Januari lalu menurun 8 peratus atau 201 kes iaitu kepada 2,319 kes berbanding 2,520 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu kematian akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 7,058 kes berbanding 2,165 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 4,893 kes (226 peratus). Sebanyak tiga kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding tiada kematian bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 80 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 67 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Ia membabitkan 50 lokaliti hotspot berada di Selangor, 14 lokaliti hotspot di Sabah, Kuala Lumpur dan Putrajaya (9) dan Pulau Pinang (7).

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 11 kes survelan chikungunya direkodkan pada ME 3/2023 dengan masing-masing tiga kes dari Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta dua kes dari Perak.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 47 kes.

“Bagi survelan zika, sebanyak 150 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Sementara itu, beliau menyarankan masyarakat untuk memberikan maklum balas serta aduan berkaitan denggi melalui laman sesawang iDengue (https://idengue.mysa.gov.my/) iaitu platform digital perkongsian maklumat terkini denggi di negara ini.

Katanya, situasi denggi terkini dan carian status denggi di kawasan kediaman, tempat kerja serta kawasan lain yang akan dilawati dapat disemak di laman sesawang tersebut.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, infectious disease tracker pada aplikasi MySejahtera juga memberikan maklumat berkenaan situasi penyakit berjangkit dalam radius tertentu.

“Lakukan semburan aerosol di dalam ruangan sebelum memulakan kegiatan. Pakai pakaian yang berwarna cerah serta menggunakan repelan nyamuk pada anggota badan yang terdedah bagi mengelakkan gigitan nyamuk Aedes semasa melakukan aktiviti luar.

“Amalkan aktiviti Cari dan Musnah tempat pembiakan Aedes 10 minit seminggu bagi menurunkan populasi nyamuk Aedes. Lindungi diri, keluarga dan komuniti kita. Jangan jadi mangsa demam denggi. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” katanya.

Loading...
Terkini