comscore
Tumpuan :
Nasional

Kumulatif kes demam denggi tahun ini naik 99.1%

Foto hiasan

PETALING JAYA: Kumulatif kes demam denggi tahun ini sehingga Minggu Epidemiologi ke-43 (ME43) (22-28 Oktober 2023), meningkat sebanyak 49,146 kes atau 99.1% kepada 98,715 kes berbanding 49,569 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan menerusi kenyataan memaklumkan dari jumlah itu, 73 kematian akibat komplikasi demam denggi telah direkodkan berbanding 33 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Jumlah kes demam denggi khusus pada ME43 bagaimanapun hanya meningkat 10 atau 0.4% kepada 2,272 kes berbanding 2,262 kes direkodkan pada minggu sebelumnya.

Tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dicatatkan dalam tempoh ME43 itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.

Bilangan lokaliti hotspot pula dilaporkan menurun kepada 68 lokaliti berbanding 73 lokaliti pada minggu sebelumnya.

“Dari 68 lokaliti yang dilaporkan, 49 lokaliti di Selangor, sembilan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, enam di Perak dan masing-masing satu di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak,” katanya.

Mengenai survelan chikungunya, Datuk Dr. Muhammad Radzi memaklumkan sebanyak empat kes chikungunya direkodkan pada ME43, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini 181 kes.

Bagi survelan zika, sebanyak 2,982 sampel darah dan 301 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil semuanya adalah negatif.

Loading...
Terkini