comscore
Tumpuan :
Nasional

Kunjungan Hormat Yang Di-Pertuan Agong & Raja Permaisuri Agong Ke Atas Raja United Kingdom, Raja Charles III

Foto: Sumber Istana Negara

LONDON: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja United Kingdom, Raja Charles III, di Istana Buckingham, London, United Kingdom semalam (12 Oktober 2022).

Kunjungan hormat itu bersempena lawatan khas Seri Paduka Baginda berdua ke London, dari 10 Oktober hingga 16 Oktober 2022.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, pada sesi kunjungan hormat yang berlangsung selama 40 minit bermula pada jam 3.00 petang waktu tempatan, Baginda Raja Charles III berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan Seri Paduka Baginda berdua.

Raja Charles III dan Yang di-Pertuan Agong turut menyentuh isu hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom termasuk isu alam sekitar dan pelancaran Battersea Power Station, sebuah projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London, yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan Baginda Raja Charles III.

Kedua-dua pemimpin telah menjalinkan persahabatan sejak lebih empat dekad, bermula dengan bersukan polo bersama-sama ketika remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

Kunjungan hormat itu, yang juga pertemuan kali kedua antara kedua-dua pemimpin pada tahun ini, turut mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dan United Kingdom sejak kemerdekaan 65 tahun lalu.

Pada 18 September 2022 lalu, Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat menghadiri Majlis Resepsi Bersama Raja Charles III di Istana Buckingham.

Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan berangkat menghadiri istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II di Westminster Abbey pada 19 September 2022 lalu.

Loading...
Terkini