comscore
Tumpuan :
Nasional

Kunjungan rasmi PM ke Kemboja esok

Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi sulung ke Kemboja esok bagi memperkukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala yang terjalin antara kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, menerusi lawatan sehari itu, beberapa perkara akan dibincangkan dan dimeterai di antara dua negara.

Perdana Menteri dijangka tiba di Kemboja pada 27 Mac 2023 jam 9.15 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh.

Beliau kemudian dijadualkan mengadakan kunjungan menghadap ke atas Raja Kemboja, Raja Norodom Sihamoni di Istana Diraja Kemboja.

Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Datuk Seri Zambry berkata, Perdana Menteri akan menyaksikan dua Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Kemboja.

“Mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja Bagi Sektor Domestik; dan MoU mengenai Pengambilan, Penggajian dan Penghantaran Pulang Pekerja Kemboja Bagi Sektor Formal,”katanya di sini, hari ini.

Di akhir segmen lawatan ini, Datuk Seri Anwar dijangka menghadiri satu majlis iftar khas yang dihoskan oleh Hun Sen bersama-sama para ilmuwan dan masyarakat Islam di Kemboja.

Perdana Menteri akan berangkat pulang ke Malaysia sejurus selesai mengerjakan solat terawih di Masjid Al-Serkal di Phnom Penh.

Pada 2022, Kemboja merupakan rakan dagangan ke-58 terbesar Malaysia dan kelapan terbesar dalam ASEAN dengan nilai dagangan US$683.6 juta, peningkatan sebanyak 20.8 peratus berbanding yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Nilai eksport ke Kemboja pula meningkat sebanyak 15.3 peratus kepada US$526.5 juta manakala import dari Kemboja merekodkan peningkatan 43.5 peratus kepada US$157.1 juta berbanding tahun sebelumnya.

Loading...
Terkini