comscore
Tumpuan :
Nasional

Kunjungan rasmi PM ke Qatar, buka ruang fahami krisis Asia Barat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oleh: Hilmi Abdul Malik

DOHA: Konflik peperangan di Gaza dijangka bakal menjadi tumpuan perbincangan sempena kunjungan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Qatar.

Lawatan kedua selepas Riyadh itu juga dilihat akan membuka peluang kepada Malaysia untuk lebih memahami konflik yang sedang melanda antara Israel dan Palestin yang sehingga kini masih belum dinoktahkan.

Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan berkata, peluang itu berkemungkinan akan diisi menerusi pertemuan bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani yang juga merupakan Menteri Luar negara itu.

Duta Besar Malaysia ke Qatar Zamshari Shaharan

“Perdana Menteri Qatar merupakan individu penting yang terlibat dalam proses rundingan jadi peluang ini boleh diambil untuk Malaysia untuk dapatkan perkembangan terkini dan maklumat terbaru.

“Kita melihat Qatar memainkan peranan sebagai ‘orang tengah’ untuk dapatkan penyelesaian yang terbaik khususnya usaha ke arah gencatan senjata yang berkekalan dan mengelak krisis terus berpanjangan,” katanya hari ini.

Selain itu, kunjungan Anwar juga mampu membincangkan bagaimana Malaysia mampu untuk bekerjasama dengan Qatar dalam usaha untuk terus menyalurkan bantuan kemanusiaan.

Menurut Zamshari, Qatar juga telah membuka pintu kerjasama yang positif bersama Malaysia dalam usaha penyaluran bantuan ke Gaza.

“Qatar berada dalam barisan hadapan proses rundingan dan mereka juga mempunyai akses untuk salurkan bantuan terus ke Mesir yang mempunyai pengkalan tersendiri.

“Berdasarkan perbincangan, mereka (Qatar) sedia untuk bantu Malaysia selaraskan bantuan kemanusiaan yang mereka telah bina sejak krisis dan sememangnya mengalu-alukan kerjasama dengan Malaysia,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres menggesa kerajaan Israel dan Hamas supaya bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata selepas Hamas berkata ia menerima perjanjian yang dicadangkan oleh Mesir dan Qatar.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu baru-baru ini, meluluskan resolusi untuk Majlis Keselamatan PBB mempertimbangkan dan menyokong keanggotaan penuh Palestin.

Bagaimanapun, keputusan itu menerima tentangan hebat Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan yang menyifatkan langkah itu sebagai tindakan yang bakal memusnahkan piagam PBB.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini