Tumpuan :
Nasional

Kurikulum baharu prasekolah pada 2026

PORT DICKSON: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengukuhkan penggunaan 50 peratus Bahasa Melayu dan 50 peratus Bahasa Inggeris melalui modul baharu kurikulum prasekolah menjelang 2026.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedang meneliti semua modul pendidikan prasekolah di semua peringkat untuk dijadikan penanda aras bagi pelaksanaan kurikulum baharu itu.

“Beberapa pendekatan pendidikan bersepadu akan kita beri tumpuan termasuk pengukuhan dari segi bahasa, maknanya penggunaan 50 peratus Bahasa Melayu dan 50 peratus Bahasa Inggeris.

“Kita akan tengok modul prasekolah KPM, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

“Begitu juga di peringkat lain yang kita kenal pasti dapat dijadikan penanda aras modul prasekolah ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Karnival Pantai Port Dickson Pendidikan Awal Kanak-kanak Parlimen Port Dickson di Pantai Batu 5, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun dan Exco Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.

Menurutnya, antara lain yang akan diberi perhatian dalam modul baharu itu termasuklah memberi tumpuan pendidikan karektor murid dalam pelbagai aspek.

Sebagai persediaan, beliau berkata, pihaknya sentiasa mengadakan sesi libat urus khususnya memberi penjelasan kepada semua pihak bagaimana kitaran baharu itu dapat memberi kesan positif kepada anak-anak.

Pada masa sama katanya, semua guru prasekolah juga akan dipastikan mempunyai tahap pendidikan tertinggi peringkat ijazah berbanding sekarang yang kebanyakannya memiliki diploma.

“Bila kita sebut mengenai penyelarasan kurikulum di semua peringkat prasekolah, tentunya keupayaan guru juga jadi keutamaan.
“Keupayaan guru-guru kita adalah kompentensif, maknanya ada guru kita mempunyai ijazah kerana di negara ini minimumnya adalah diploma dan kita sedang tingkat keupayaan itu,” katanya.

Selain itu, ibu bapa juga disarankan memberi komitmen dengan menggalakkan anak-anak menerima pendidikan awal prasekolah khususnya diterajui KPM.

Beliau berkata terdapat tiga aspek penting peringkat prasekolah iaitu menangani isu keciciran pembelajaran, program pemakanan sihat dan intervensi keperluan pendidikan khas.

“Enrolmen prasekolah mencabar kerana kita tiada dasar pendidikan wajib bagi peringkat prasekolah, ketika ini enrolmen mencapai 91.7 peratus dan KPM sedang bekerja keras bagi menggalakkan ibu bapa memberikan pendidikan awal kepada anak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini