comscore
Tumpuan :
Nasional

Kursi Dr Syed Husin Ali dicadangkan diwujudkan di Universiti Malaya – PM 

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar Kursi Dr Syed Husin Ali diwujudkan di mana-mana fakulti Universiti Malaya (UM) sebagai usaha mendalami pemikiran sarjana itu.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan segera itu telah diajukan kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan persetujuan keluarga tokoh berkenaan.

“Kursi itu bukan sekadar membicara susuk Husin tetapi imbauan mengenai curahan pemikiran beliau dalam banyak tajuk termasuk kemiskinan rakyat, sejarah rakyat yang sebenarnya sedikit sebanyak menyimpang dari aliran pemikiran semasa.

“Beliau bukan seorang sarjana yang mempunyai pengkhususan dalam bidang tertentu tetapi mempunyai ruang pemikiran yang sangat luas jadi Kursi Husin itu gagal kalau kita juruskan satu aspek yang terbatas, sebenarnya membicara soal rakyat, soal Malaysia, soal kemanusiaan dan soal perjuangan,”.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Majlis Memperingati Prof Dr Syed Husin Ali yang berlangsung di Institut Pengurusan dan Perkhidmatan Penyelidikan Universiti Malaya (UM).

Allahyarham Syed Husin yang juga Bekas Timbalan Presiden PKR itu meninggal dunia pada usia 87 tahun pada 29 Jun lepas akibat kanser.

Syed Husin adalah sabahat rapat serta rakan seperjuangan Anwar juga banyak terlibat dalam pelbagai pilihan raya selain merupakan antara tokoh senior yang sudah lama berjuang dalam politik tanah air.

Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah dan profesor di UM dan pakar dalam bidang sains sosial.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar turut mengumumkan dana RM200,000 kepada Persatuan Sains Sosial Malaysia untuk membantu mengkaji karya serta kajian yang diterbitkan oleh Syed Husin.

“Untuk penulisan dan kajian khusus tentang beberapa karya beliau dan kajian yang boleh diselenggara oleh persatuan, saya umumkan dana RM200,000 untuk tujuan itu dan saya akan luluskan pada minggu depan.

“Beliau seorang yang sagat keras dalam soal tatakelola dan isu-isu rakyat terutama dalam hal kemiskinan rakyat… karyanya banyak menyentuh soal ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini