comscore
Tumpuan :
Nasional

Kursus penuaian pertanian, perladangan ditawarkan dalam institusi TVET

PUTRAJAYA: Kursus baharu dalam bidang pertanian dan perladangan membabitkan penuaian akan diperkenalkan dalam Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu sebagai pendekatan baharu bagi mengurangkan kebergantungan pekerja asing.

“Pengambil buah sawit contohnya tidak terdiri daripada pekerja asing tetapi daripada pekerja mahir keluaran TVET dan mereka akan diberikan taraf ‘harvester’ dan ini akan memberikan gaji yang lebih tinggi daripada pengutip buah biasa.

“Ini kerana di sana terdapat 450,000 hektar ladang kelapa sawit yang tidak ada pekerja, maka hasil terbuang dan ini merugikan negara,” katanya.

Ujar Ahmad Zahid, bagi menyediakan tenaga mahir di peringkat awal usia sesuai dengan permintaan bertambah, kemasukan pelajar lepasan Tingkatan 3 ke institusi TVET mulai pengambilan Mac ini akan diperkukuh.

“Ini dimulakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dengan menawarkan tempat untuk latihan TVET di semua Kolej Vokasional dan Kolej Teknik daripada semua lepasan menengah rendah untuk terus ke institusi tvet yang ada bawah KPM.

“TVET adalah jawapan terbaik untuk latihan agar gaji lebih tinggi berbanding gaji minimum,” katanya.

Tambahnya, permohonan untuk memasuki institusi TVET bagi pengambilan Jun dan September ini meningkat dua kali ganda iaitu daripada 67,000 permohonan tahun lalu kepada 134,000 permohonan setakat ini.

Untuk rekod, terdapat 1,345 institusi TVET di seluruh negara melibatkan 12 kementerian dan 622 institusi TVET di bawah syarikat swasta.

“Terdapat tawaran daripada negara China untuk pelajar TVET negara kita supaya diberikan peluang pendedahan pendidikan baharu dalam teknologi tinggi di beberapa institusi TVET di China.

“Mereka telah menawarkan lebih daripada 2,000 tempat kepada pelajar TVET atas kepercayaan bahawa kualiti lepasan TVET di negara kita adalah sama taraf dengan kelulusan minimum yang diperlukan institusi TVET China.

“Ini memperlihatkan bahawa pengiktirafan daripada institusi TVET di China kepada lepasan TVET di negara kita,” katanya.

Loading...
Terkini