comscore
Tumpuan :
Nasional

Kursus perhutanan semakin diminati belia

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Operasi dan Teknikal) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Rahim Rani (kiri) membantu peserta mengikat rakit buluh pada Program Latihan Ikhtiar Hidup di Lata Lembik. – FOTO: NSTP

RAUB: Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN), Bahagian Latihan Perhutanan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia membuka peluang yang lebih luas kepada golongan belia yang berminat untuk menyertai latihan dalam bidang perhutanan selama setahun bagi Kursus Sijil Perhutanan Pengawas Hutan dan dua tahun bagi Kursus Sijil Perhutanan Renjer Hutan.

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan (Operasi dan Teknikal) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Rahim Rani berkata setiap tahun tawaran latihan jangka panjang ini dibuka bagi menyertai latihan berkenaan.

Katanya, sambutan terhadap latihan yang disediakan setiap tahun bertambah dengan permohonan diterima daripada belia seluruh negara yang berminat dalam bidang perhutanan.

“Kita sentiasa membuka peluang kepada golongan belia yang berminat dan layak untuk mengikuti latihan disediakan, selepas sesi ujian fizikal serta temuduga hanya mereka yang lulus sahaja diterima.

“Lepasan Institut Latihan Perhutanan berpeluang memohon jawatan sebagai Pengawas Hutan dan Penolong Pemelihara Hutan serta Ranjer Hutan dengan semua jabatan perhutanan negeri di Semenanjung selain agensi kerajaan lain serta swasta,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Program Latihan Ikhtiar Hidup di Lata Lembik, dekat sini semalam

Hadir sama Pengarah Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Roslan Rani; Pengarah Bahagian Latihan Perhutanan, Ramli Mat; Pengetua FORTRAIN, Radhuan Ramli dan Pegawai Hutan Daerah Raub, Safiah Aimi Md Isa.

Seramai 114 para pelatih FORTRAIN terbabit dalam program selama seminggu itu. Pelbagai aktiviti diadakan seperti ikhtiar hidup di hutan, memasak dalam buluh, menyediakan rakit buluh dan menyusuri sungai menggunakan rakit.

Mohd Rahim berkata, latihan ikhtiar hidup diadakan merupakan salah satu program yang wajib diikuti dan menjadi pra syarat bagi pelatih dalam kursus sijil perhutanan, ia bertujuan melatih pelatih mempelajari ilmu kelangsungan hidup dalam hutan seperti mencari sumber makanan dalam hutan, membina tempat perlindungan, menghidupkan api dan sebagainya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini