comscore
Tumpuan :
Nasional

Kuskop bantu usahawan terjejas banjir

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menangguhkan sejumlah RM128.6 juta pembayaran semula pinjaman mikro kredit dan pinjaman keusahawanan kepada seramai 65,596 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di beberapa negeri seluruh negara yang terjejas banjir pada 9 hingga 31 Disember 2022.

Hampir kesemua usahawan atau peminjam yang terjejas ini dari Kelantan dan Terengganu manakala selebihnya dari Pahang serta Sabah.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, peminjam atau usahawan berkenaan yang membuat pinjaman melalui agensi di bawah Kuskop boleh memohon penangguhan sehingga tempoh maksimum enam bulan.

Katanya, agensi yang terbabit ialah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Corp Malaysia, Tekun Nasional, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Penangguhan pembayaran semula pinjaman terbabit adalah inisiatif kementerian bagi membantu meringankan tekanan dan bebanan yang dihadapi koperasi, usahawan mikro, kecil dan sederhana di kesemua negeri yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kementerian juga melaksanakan program bantuan bakul makanan pasca-banjir di Kelantan dan Terengganu kepada seramai 1100 keluarga isi rumah terjejas banjir membabitkan peruntukan sebanyak RM110,000.

Penyerahan bakul makanan kepada mangsa-mangsa banjir ini akan dilaksanakan oleh Timbalan Menteri, Senator Saraswathy Kandasami bersama agensi kementerian pada 13 Januari ini di kedua-dua negeri berkenaan.

Loading...
Terkini