KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM57.57 bilion bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir 30 September tahun ini, meningkat 20 peratus berbanding RM47.86 bilion dalam tempoh sama 2023.
Pada suku ketiga berakhir 30 September lalu, jumlah pendapatan pelaburan adalah RM19.67 bilion, meningkat sebanyak RM5 bilion berbanding RM14.67 bilion yang dicatatkan pada suku sama 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata prestasi kukuh KWSP adalah bukti kepada strategi pelaburannya yang merangkumi portfolio yang pelbagai merentasi kelas aset utama.
Beliau berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat dengan kukuh sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua dan FBM KLCI ditutup pada 1,648 pada akhir suku ketiga dengan pulangan sebanyak 13 peratus setakat tahun ini, di mana pelabur terus optimis terhadap prestasi asas syarikat Malaysia, dasar ekonomi Malaysia, dan pembaharuan fiskal.
Katanya, pasaran global secara amnya menunjukkan prestasi positif sepanjang suku tahun ini, didorong oleh permulaan kitaran pelonggaran kadar faedah apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada September.
“Pengurangan kadar faedah di AS yang dinantikan telah mendorong sentimen pasaran dan keuntungan merentasi pelbagai sektor, termasuk REIT, utiliti dan kewangan, yang semuanya memberi kesan positif kepada portfolio pelaburan KWSP.
“Pertumbuhan KDNK sebenar China dicatatkan pada 4.6 peratus tahun ke tahun, menurun sedikit daripada 4.7 peratus pada suku sebelumnya.
“Walau bagaimanapun, risiko kekal dalam prospek global seperti trajektori dan kadar pengurangan kadar faedah, ketegangan geopolitik yang berterusan dan semakin meningkat terutama di Asia Barat serta potensi tarif import yang lebih tinggi ke AS dengan pemilihan Donald Trump minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Pendapatan daripada pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang besar kepada pendapatan untuk suku ketiga 2024, menjana sebanyak RM18.32 bilion berbanding RM9.17 bilion dalam suku ketiga 2023, mencerminkan pendekatan proaktif pengurus dana dalam merealisasikan keuntungan di sebalik ketidaktentuan pasaran, disokong oleh momentum positif dalam pasaran ekuiti.
Instrumen pendapatan tetap, menyumbang 33 peratus atau RM6.51 bilion kepada jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku ketiga 2024.
Hartanah dan infrastruktur mencatatkan keuntungan sebanyak RM820 juta dalam suku tahun itu berdasarkan kadar mata wang tetap.
Memandangkan majoriti pelaburan dalam hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang didenominasikan dalam mata wang selain ringgit, dan dengan pengukuhan ringgit baru-baru ini berbanding dolar AS pada suku ketiga 2024, kelas aset itu mengalami kerugian sebanyak RM3.71 bilion dan RM1.45 bilion masing-masing selepas penukaran mata wang asing.
Kedudukan itu, bagaimanapun adalah bersifat sementara, mencerminkan pergerakan mata wang semasa.
Pasaran wang antarabangsa sangat sensitif terhadap turun naik mata wang jangka pendek, yang membawa kepada kerugian penukaran semasa tempoh apresiasi mata wang.
Pelaburan KWSP dalam hartanah dan infrastruktur adalah untuk jangka masa panjang di mana pergerakan mata wang mempunyai impak yang lebih kecil terhadap pulangan sebenar keseluruhan.
Setakat September lepas, jumlah aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM1.222 trilion, dengan 62.2 peratus dan 37.8 peratus diperuntukkan kepada pelaburan dalam dan luar negara.
Dalam suku ketiga, pelaburan luar negara menyumbang sebanyak RM10.50 bilion, merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.
Daripada jumlah pendapatan pelaburan, RM48.02 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM9.55 bilion untuk Simpanan Shariah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.