comscore
Tumpuan :
Nasional

Labur RM1.2 juta, dapat pulangan RM20,000

KUCHING: Seorang Pengurus Acara kerugian RM1.2 juta akibat penipuan berkaitan tawaran kerja sambilan atas talian menerusi aplikasi sembang maya Tinder oleh seorang wanita Vietnam yang memperkenalkan diri sebagai Emma.

Persuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata menerusi perbualan tersebut, mangsa telah ditawarkan pulangan sebanyak 1.1 peratus jika menyertai kerja sambilan itu selain komisyen jika berjaya menjual barangan dalam laman sesawang yang diberikan oleh suspek.

Persuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri

“Dalam tempoh tersebut, mangsa juga telah berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan juga Telegram dan diterangkan secara panggilan video berkenaan kerja sambilan itu.

“Mangsa juga telah diberikan satu link ‘clickmart.site’ berserta pengenalan diri dan kata laluan bagi aplikasi terbabit. ” katanya menerusi satu kenyataan

Beliau berkata, mangsa yabg berminat dengan tawaran terbabit kemudian telah membuat 27 transaksi pembayaran ke tujuh akaun bank berbeza antara 15 Mei hingga 13 Julai lalu membabit jumlah sebanyak RM1.2 juta.

Bagaimanapun sepanjang tempoh terbabit, mangsa hanya mendapat pulangan sebanyak RM20,000 daripada kerja sambilan terbabit.

“Mangsa kemudiannya menyedari ditipu selepas tidak lagi menerima pulangan dan komisyen daripada kerja sambilan terbabit seperti yang dijanjikan oleh suspek,” katanya.

Loading...
Terkini