comscore
Tumpuan :
Nasional

Ladang babi di Pulau Pinang lepaskan sisa ternakan ke Sungai Kulim

FOTO: JAS Kedah

ALOR SETAR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan berlakunya kegiatan melepaskan sisa ternakan babi disyaki dari ladang perkampungan Sungai Lembu, Seberang Perai Tengah (SPT), Pulau Pinang yang menyebabkan pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan pencemaran itu Jumaat lalu, sebelum pegawai penyiasat JAS Cawangan Kulim digerakkan bagi mengesan punca kejadian.

FOTO: JAS Kedah

Katanya, pemeriksaan lapangan yang dilakukan pegawai penyiasat meliputi kawasan hulu sungai berjaya mengesan aliran air hitam dari Sungai Air Merah mengalir masuk ke Sungai Kulim.

“Pasukan penyiasat kemudian bertindak menyusuri Sungai Air Merah dan turut melakukan pemantauan menggunakan dron di sepanjang Sungai Air Merah.

“Pemantauan melalui dron di sepanjang Sungai Air Merah mengesan punca pelepasan air hitam tersebut disyaki berpunca dari pelepasan efluen atau air sisa dari aktiviti penternakan babi di perkampungan Sungai Lembu, SPT, Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

FOTO: JAS Kedah

Tambahnya  pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan penternakan babi mendapati terdapat beberapa kolam yang melepaskan efluen ke Sungai Air Merah yang kemudiannya memasuki Sungai Kulim.

“Jarak antara kawasan penternakan ke pertemuan Sungai Air Merah-Sungai Kulim adalah kira-kira tiga kilometer. Untuk rekod, terdapat Loji Rawatan Air (LRA) Toh Allang di Sungai Kulim yang membekalkan air bagi Pulau Pinang dan loji ini terletak kira-kira tujuh kilometer dari pertemuan Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

“Hasil siasatan telah dimaklumkan kepada JAS Pulau Pinang untuk diambil tindakan oleh pihak berkuasa Pulau Pinang seperti Jabatan Veterinar Pulau Pinang dan Badan Kawal Selia Air Pulau Pinang,” katanya.

Beliau meminta semua pihak tidak melakukan aktiviti yang mencemarkan sungai kerana ia boleh menyebabkan loji air ditutup dan menjejaskan bekalan air kepada penduduk.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini