Tumpuan :
Nasional

Lagi insiden tayar lori tercabut: 4 cedera di WCE dalam nahas 3 kenderaan

MANJUNG: Empat cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan merempuh tayar sebuah lori tangki yang tercabut di Kilometer 199 Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan, Sitiawan, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa cedera berusia tiga hingga 36 tahun yang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Yaris.

Katanya, dua mangsa lain yang menaiki dua lagi kenderaan jenis Honda Civic serta Mercedes bagaimanapun dilaporkan tiada mengalami kecederaan dalam insiden kira-kira jam 8.40 malam itu.

“Kemalangan dilaporkan berlaku apabila tiga kenderaan terbabit merempuh tayar kiri sebuah lori tangki membawa muatan minyak 45 tan yang tercabut.

“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati seorang wanita berusia 36 tahun yang berada di tempat duduk hadapan Toyota Yaris telah tersepit.

“Mangsa itu kemudian berjaya dikeluarkan sebelum dibawa ke hospital dengan menggunakan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) bomba.

“Tiga lagi mangsa yang juga cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, operasi membabitkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan serta BBP Seri Manjung sebelum ia ditamatkan pada jam 10.36 malam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini