Tumpuan :
Nasional

Lagi kes buli di UPNM, mangsa dipijak hingga retak tulang rusuk, tulang belakang

Foto hiasan

Oleh: Ing Boon Seng

PETALING JAYA: Lagi kes buli membabitkan penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, UPNM.

Kali ini seorang penuntut tahun satu mengalami kecederaan parah akibat keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dipijak seorang penuntut tahun tiga, universiti berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian mendatangkan kecederaan parah pada jam 8.40 malam, 8 November lalu.

Kejadian katanya berlaku pada jam 10.45 malam 21 Oktober lalu.

Berdasarkan laporan, ketika itu, mangsa berada di tepi padang kawad selepas selesai panggil nama.

Mangsa yang berusia 19 tahun kemudian didatangi seorang penuntut tahun tiga yang bertindak memijaknya.

Tambahnya, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berhubung kecederaan yang dialami.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Tegas Datuk Rusdi, kes masih di peringkat siasatan dan pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan dilengkapkan.

Dalam kejadian 22 Oktober lalu, seorang penuntut cedera akibat ditekap dengan seterika pada bahagian dadanya oleh penuntut senior.

Dua hari lalu, Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Amirul Iskandar Ahamad Norhanizan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini