comscore
Tumpuan :
Nasional

Lagi pergaduhan babitkan perlawanan bola sepak

Tidak berpuas hati keputusan pengadil dalam satu perlawanan bola sepak menyebabkan sekumpulan lelaki bergaduh sehingga video memaparkan perbuatan mereka itu tular di media sosial. – Foto tular

BUTTERWORTH: Sekumpulan lelaki bergaduh dipercayai tidak berpuas hati keputusan pengadil dalam satu perlawanan bola sepak sehingga video memaparkan perbuatan mereka itu tular di media sosial, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima satu laporan insiden berkenaan.

Tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Polis semalam mengesan satu rakaman video tular di media sosial berkenaan pergaduhan sekumpulan individu selepas selesai perlawanan bola sepak di Butterworth.

“Kejadian telah berlaku kelmarin (25 Februari) dan tindakan telah diambil dengan menahan tiga suspek (pada hari kejadian) selepas satu laporan polis berhubung insiden itu diterima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Nor Salawati berkata, punca kejadian adalah disebabkan tidak puas hati keputusan pengadil.

“Pada masa sama terdapat perbuatan provokasi sesama pihak dengan cara mempamerkan mimik muka dan gerak badan ketika perlawanan berlangsung,” katanya.

Jelasnya, seorang daripada tiga suspek ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan usaha bagi mengesan individu lain yang terlibat sedang giat dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nursyahirah Sarahani di talian 04-5762222 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini