KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa daerah di kawasan pantai timur Sabah dilanda banjir, hari ini.
Antara daerah terjejas akibat bencana itu ialah Lahad Datu, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan.

Di Beluran, jalan utama menghubungkan Sandakan dan kawasan pantai timur dengan ibu negeri terputus akibat limpahan air yang menenggelamkan sebahagain laluan dekat Bulatan Sapi Nangoh di Kilometer 70, Jalan Telupid-Sandakan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Penolong Penguasa Bomba, Edoen Macheal berkata, setakat pagi tadi, jalan berkenaan tidak dapat dilalui sebarang kenderaan.
Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa daerah di kawasan pantai timur Sabah dilanda banjir, hari ini.
Berikut merupakan laluan utama di Kilometer 70 Sapi-Nangoh, Beluran menghubungkan Sandakan ke Telupid untuk ke Kota Kinabalu terjejas teruk. pic.twitter.com/9JCZM2LvaL
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 29, 2025
“Kepada semua pengguna jalan raya Kota Kinabalu ke Sandakan, dimaklumkan berlaku banjir di Kilometer 70 sebelum bulatan Sapi Nangoh menuju ke Sandakan.
“Ini disebabkan limpahan air akibat hujan lebat sepanjang malam hingga menyebabkan laluan dari Telipud ke Sandakan tidak dapat dilalui oleh sebarang kenderaan.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk tidak mengambil sebarang risiko untuk melalui jalan raya berkenaan,” katanya.
Sementara itu di Lahad Datu, Ketua BBP Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, beberapa kampung dinaiki air antaranya Sapagaya, Tamoi Baru dan Tamoi Lama.

Katanya, beberapa laluan juga tidak dapat dilalui kenderaan rendah berikutan bencana itu.
Di Kinabatangan, pihak bomba memaklumkan setakat ini tiga kampung dinaiki air iaitu Kampung Kasih Sayang berdekatan Pangkalan Bukit Garam, Kampung Paris Satu dan Kampung Paris Tiga.
Pasukan bomba sedang memindahkan penduduk yang terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS), manakala sebahagian menumpang di rumah keluarga.
Selain itu, pasukan bomba bersama agensi kerajaan lain memantau kawasan banjir dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan banjir memandangkan amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hujan berterusan sehingga esok.
Orang ramai juga diharap lebih berhati-hati dan tidak melalui jalan yang dinaiki air deras dan dalam serta berpindah segera sekiranya air semakin naik di kawasan mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.