comscore
Tumpuan :
Nasional

Laksam latok inovasi terbaharu menu Pantai Timur

 

Oleh: Izzatie Rizan

SERDANG: Sebut sahaja menu dari Pantai Timur, laksam antara yang ada dalam fikiran dengan kuah isi ikan yang berlemak.

Namun melalui kajian terbaharu yang dilakukan Universiti Putra Malaysia (UPM), resipi asalnya itu diolah serta digantikan dengan rumpai laut, latok.

Inovasi itu sama sekali tidak mengubah rasa asli laksam tetapi mengkomersialkan makanan tradisional berkenaan ke pentas dunia.

Digelar ‘laksamudah’,  inovasi ini menyaksikan menu popular itu boleh dinikmati dengan segera.

Penyediaannya pula hanya mengambil masa lima minit.

Dicetuskan sekumpulan pelajar tahun tiga Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM, laksam istimewa ini sesuai dinikmati golongan vegetarian kerana menggunakan tumbuhan sepenuhnya.

Berkongsi kepada Buletin TV3, ketua kumpulan Nur Azlinna Mohd Zura berkata, resipinya 100 peratus mengikut citarasa masyarakat Pantai Timur.

Bagi memberikan rasa dan tekstur yang hampir sama dengan ikan, latok serta hampas soya digabungkan sebagai bahan utama.

“Saya dan ahli kumpulan telah bertungkus-lumus selama 14 minggu untuk menghasilkan laksam latok ini.

“Di mana kalau kita lihat di pasaran tiada lagi produk yang mengetengahkan latok yang sebenarnya banyak manfaat tersendiri.

“Latok sebenarnya ada rasa mirip dengan ikan. Jadi gabungannya di dalam resipi ini tidak mengubahkan rasa asli laksam,”katanya.

Jelasnya penghasilan produk ini akan membantu menu tempatan lebih dikenali di peringkat antarabangsa, selain menambah produk hiliran berasaskan latok yang kini telah ditanam secara komersial.

Konsep laksam segera ini sama seperti mi segera yang mana adunan tepung beras dan tepung gandum akan dibuat melalui teknik pengeringan khas.

Ia kemudian digandingkan dengan kuah, hasil gabungan latok dan hampas soya serta rempah asli Malaysia.

Lebih istimewa ia turut disertakan dengan bumbu yang dikeringkan antaranya kacang panjang dan bunga kantan.

Inovasi laksam latok ini turut dinobatkan sebagai juara pertandingan pengenalan produk baharu yang disertai pelajar UPM.

Peringkat seterusnya lapan pelajar ini akan merebut kejuaraan pertandingan sama di peringkat universiti pula.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini