comscore
Tumpuan :
Nasional

Lakukan siasatan terperinci kecurian REE di Sik

Foto: Aktivis alam sekitar dan penduduk kampung menuntut siasatan terperinci kecurian REE di Bukit Enggang, Sik.

Oleh: Kumaran Rajamoney

SIK: Kerajaan disaran membentuk Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) atau satu tribunal siasatan khas bagi menyiasat kejadian kecurian unsur nadir bumi (REE) yang berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang di sini, baru-baru ini.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata kecurian yang berlaku di kompartment 12, 13 dan 14 itu sudah berlarutan sekian lama dan tidak mungkin berlaku tanpa pengetahuan pihak bertanggungjawab.

“Kita yakin pencuri tak akan dapat masuk kalau tanpa kerjasama daripada daripada tuan rumah. Jadi kita mengesyaki sesuatu yang tidak kena dengan keadaan ini.”

“Kita perlu mencari bukti dan ia akan dapat dilaksanakan menerusi penubuhan RCI atau jawatankuasa khas yang dimaksudkan,” katanya.

Menganggarkan kerugian akibat kecurian itu dalam nilai jutaan ringgit, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia menyifatkan kerajaan negeri tidak tegas dalam usaha menyekat kecurian itu.

Foto: Mahadzir Abdul Hamid dan Mohd Sobree Ramli.

Pegawai lapangan Sahabat Alam Sekitar (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman menyifatkan tindakan kerajaan negeri menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Jangka Bakat Minerals Sdn Bhd dan Xiamen Tungsten Co Ltd menunjukkan bahawa kerajaan negeri tidak serius dalam menjejaki dalang di sebalik kecurian REE.

“Lokasi yang dibuka untuk penerokaan ini adalah hutan pengeluaran, yang dari segi teknikal bercanggah dengan Seksyen 2 dan Sesyen 10 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana ia merujuk kepada pengeluaran kayu kayan dan bukan REE.”

“Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamjmad Sanusi Md Nor dilihat melangkaui keputusan mesyuarat petugas khas bagi mengkaji kesan pengeluaran Lanthanide di dalam hutan simpanan kekal yang diadakan di Perak pada 2020.”

Penasihat Kelab Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mohd Sobree Ramli pula menyifatkan serbuan dan tangkapan pada September tahun lalu, termasuk kompaun berjumlah RM630,000 sebagai usaha pencegahan yang tidak mutlak.

“Kita nak tahu kartel itu datangnya dari mana. Kerajaan sepatutnya kesan dari mana sumber kewangan yang membolehkan kompaun itu dibayar.”

Pelombongan REE secara haram dan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Enggang juga katanya mengakibatkan pencemaran sumber air bersih yang menampung keperluan penduduk di sekitar Sik.

Terdahulu, Mahadzir, Meor Razak dan aktivis bersama-sama penduduk kampung, cuba meninjau lokasi tapak perlombongan REE namun hanya dibenarkan naik sehingga ke kawasan kaki bukit, iaitu sehingga kawasan sempadan hutan simpan.

Tinjauan di Sungai Jeneri pula mendapati air sungai yang mengalir dari Bukit Enggang mengalami perubahan warna dipercayai berpunca dari kegiatan perlombongan REE.

Loading...
Terkini