Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KLANG: Kerajaan akan menyegerakan peluasan kelebaran jalan di kawasan Pelabuhan Klang, khususnya di Westports dalam usaha memacu pelabuhan itu sebagai antara pelabuhan utama di dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penambahbaikan ini merupakan satu keperluan kerana kesesakan yang berlaku menyebabkan kemalangan yang tinggi.
“Saya akan bincang dengan Menteri Besar dan Menteri Pengangkutan, bagaimana dalam masa keupayaan kita boleh menyegerakan peluasan pelebaran jalan.
“Dengan kemajuan ekonomi, pelaburan yang meningkat, dengan pendapatan hasil negara termasuk kastam yang lebih tinggi, mungkin kita dapat menyegerakan.
“Saya setuju kita letakkan soal jalan raya ini sebagai salah satu keutamaan kita dalam merancang pertumbuhan negara.
“Semua kelulusan harus disegerakan, melainkan ada masalah-masalah serius, kita tidak boleh lagi guna alasan peraturan, lewat dalam meluluskan, kelewatan ini akan menyebabkan negara ketinggalan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Westports 2, Sempena Ulangtahun ke-30 Penswastaan Pelabuhan Barat, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan; dan Pengerusi Eksekutif Westports Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.
Menurut beliau, ia selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pengangkutan pelbagai industri, melalui peningkatan pelaburan dan perdagangan yang lebih tinggi.
Pembinaan lapan terminal kontena baharu di Westports 2 dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengendalian kontena daripada 14 juta TEU kepada 28 juta TEU.
Ia penting bukan sahaja untuk memenuhi permintaan semasa tetapi juga untuk bersedia bagi pertumbuhan dalam jumlah perdagangan yang dijangka meningkat dalam dekad akan datang.
Berkeluasan 550 ekar, Westports 2 akan menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan merangsang lebih banyak Pusat Pengedaran Serantau dan Global seperti IKEA, Robert Bosch dan Marks & Spencer yang sedia ada di sini.
Westports 2 juga akan dibangunkan dengan automasi dan pendigitalan, di mana lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi akan diwujudkan untuk rakyat Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.