comscore
Tumpuan :
Nasional

Laluan kontra diaktifkan susulan jalan rosak di LPT1

Laluan kontra yang dibuka susulan rekahan di permukaan jalan antara kilometer (Km) 118.2 ke Km17.8 arah barat (arah Kuala Lumpur). Foto media sosial

KUALA LUMPUR: Bagi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya dan kelancaran aliran trafik Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), keseluruhan lorong arah barat telah ditutup manakala laluan kontra (contra flow) diaktifkan mulai jam 4.15 petang semalam (10 September).

Tinjauan di lokasi tambakan Projek Tebatan lebuh raya berkenaan mendapati terdapat rekahan di permukaan jalan antara kilometer (Km) 118.2 ke Km17.8 arah barat (arah Kuala Lumpur) membabitkan lorong kecemasan dan sebahagian lorong perlahan.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Sazali Harun, dalam kenyataan hari ini berkata tinjauan tapak yang turut disertai Pengarah dan jurutera dari Pejabat Wilayah Timur LLM itu dilakukan ekoran makluman daripada syarikat pengendali LPT1 ANIH Berhad.

“Pemerhatian awal punca berlakunya mendapan tersebut adalah disebabkan daripada runtuhan cerun tambak (fill slope) di kawasan kerja-kerja tebatan banjir. Pihak syarikat konsesi juga memaklumkan hujan lebat telah berlaku sejak tiga hari kebelakangan ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sazali berkata, sebagai langkah jangka pendek, syarikat konsesi mengarahkan pihak kontraktor untuk menutup kawasan rekahan dengan kanvas bagi mengawal hakisan.

Penanda enapan (settlement marker) akan dipasang bagi memantau pergerakan tanah dan aktiviti penyiasatan tanah (soil investigation) secara komprehensif juga dilaksanakan segera.

Katanya, Pejabat Wilayah Timur LLM, syarikat konsesi, perunding dan kontraktor juga sudah diarahkan untuk berada di tapak selama 24 jam bagi memantau keadaan.

“Laporan awalan berhubung kejadian ini telah dikemukakan kepada Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) dan laporan penuh sedang disediakan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun laluan LPT1 terbabit masih boleh dilalui oleh semua kenderaan, pengguna diminta berhati-hati serta mematuhi papan tanda lalu lintas dan sekiranya tiada keperluan mendesak, elak daripada menggunakan laluan berkenaan bagi mengelakkan kesesakan. – BERNAMA

Loading...
Terkini