comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Laluan pejalan kaki ‘dirampas’ jadi parkir motosikal

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja isu parkir Orang Kurang Upaya OKU, malah masyarakat kita turut dikaitkan dengan kurang kesedaran sivik membabitkan fasiliti awam yang digunakan untuk kepentingan sendiri.

Di kebanyakan kawasan kaki lima mahupun laluan berbumbung pejalan kaki, tinjauan mendapati kawasan itu seolah ‘dirampas’ untuk parkir motosikal.

Persoalannya, adakah kurang rasa tanggungjawab? Ataupun parkir tidak mencukupi?

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan bermula di Stesen LRT Kampung Baru, mendapati laluan berbumbung yang sebelum ini tular susulan lambakkan motosikal yang diletakkan di kawasan itu, sudahpun tiada.

Hanya segelintir pengguna yang masih berdegil dikenakan tindakan saman oleh pihak penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tinjauan turut dilakukan di sekitar Setapak yang mana motosikal penghantaran p-hailing ini dikesan selamba parkir ditepi jalan sehingga menyebabkan kesukaran kepada pengguna jalan raya lain termasuk teksi dan bas.

Begitu juga di Wangsa Maju situasinya lebih kurang sama, motosikal turut memenuhi laluan berbumbung itu.

“Tidak sepatutnya berlaku la. Kadang-kadang orang berkerusi roda, ibu mengandung atau orang nak menunggu ke mereka perlukan tempat ini la. Tetapi bila ada motor yang menghalang, ia jadi susah. Kalau hujan, lagi orang nak lalu.” kata Muhammad Danial Azman, pekerja swasta.

“Tidak cukup parkir juga antara salah satu faktor. Kalau kita lihat tidak banyak tempat parkir motor ada, jadi ini salah satu pilihan yang ada.” kata Putera Emir, penuntut universiti kepada segmen Turun Padang, Buletin TV9.

Sementara itu, bagi penunggang motosikal, mereka menyedari kesalahan itu namun disebabkan ingin cepat, mereka terpaksa pilih jalan mudah.

“Sebab mudah kerja. Kalau nak parkir dalam, kena bayar. Jadi kita ambil jalan singkat, parkir sahaja disini.” kata Muhammad Junaidi, pekerja swasta.

Beginilah keadaan laluan pejalan kaki yang tular sebelum ini di ibu negara, yang dipenuhi dengan motosikal sehingga menyukarkan pengguna melaluinya.

Bertindak atas rungutan itu, penguatkuasa (DBKL) mengambil tindakan menyita dan menyaman motosikal yang didapati menghalang laluan pejalan kaki di kawasan terbabit.

Loading...
Terkini