comscore
Tumpuan :
Nasional

Langkawi jadi pengeluar beras pulut tahun depan

 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menandatangani papan iklan Projek Padi Pulut Langkawi Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) ala Sekinchan di Mukim Ayer Hangat, Langkawi.

LANGKAWI: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mensasarkan pulau ini sebagai antara pengeluar beras pulut utama negara menjelang tahun depan.

Menterinya,  Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sasaran itu dilaksanakan menerusi fasa pertama Projek Padi Pulut Langkawi Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) ala Sekinchan di Mukim Ayer Hangat, di sini.

“Projek yang dikawal selia oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) itu membabitkan kawasan seluas 14.78 hektar dengan tujuh pesawah serta dijangka menghasilkan tuaian sebanyak enam tan per hektar.

“Jumlah itu dikira baik bagi pesawah di Kedah, kalau di Sekinchan boleh mencecah sehingga 11 tan per hektar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Padi Pulut Langkawi SMART SBB di sini, hari ini.

Beliau berkata, seiring pelaksanaan projek itu, kerajaan juga akan membina sebuah kilang padi berkonsepkan agropelancongan berharga RM8.9 juta di Kampung Bukit Hantu, di sini.

“Kilang padi yang pertama dibangunkan di Langkawi itu berkonsepkan ‘glass-house’ dan diyakini mampu menarik pengunjung, khususnya pelancong untuk mempelajari dan melihat sendiri padi pulut diproses sehingga menjadi beras.

“Bagi jangka panjang, kilang padi ini yang dijangka siap tahun depan akan berkembang sebagai pusat latihan kepada pesawah dan usahawan yang berminat dalam subsektor agromakanan padi dan beras,” katanya.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pengurus Besar Kanan BERNAS, Abdul Rahman Mohd Nasir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini