comscore
Tumpuan :
Nasional

Langkawi perlu ada hospital bertaraf antarabangsa

Pulau Langkawi pernah mencatat sehingga 3.924 juta orang kedatangan pelancong pada tahun 2019.- Foto hiasan

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah disarankan supaya menarik pelabur membina hospital pakar bertaraf antarabangsa di Langkawi.

Ia bagi memudahkan dan menarik lebih ramai pelancong mendapat rawatan di pulau berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud berkata kemudahan fasiliti itu diperlukan memandangkan Langkawi tersenarai di tangga kesembilan sebagai pulau terbaik di dunia oleh majalah Travel Plus Leisure Readers 2023.

Katanya, insiden Raja Norway, Raja Harald V dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha yang tidak memiliki Wad Diraja untuk mendapatkan rawatan setelah jatuh sakit ketika baginda sedang bercuti di Pulau Langkawi amat mengejutkan.

“Justeru, kerajaan negeri perlu melihat kepentingan untuk melabur melalui anak-anak syarikat kerajaan negeri atau menarik pelabur bagi mewujudkan hospital pakar bertaraf antarabangsa di Pulau Langkawi,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika membahaskan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada sidang dewan undangan negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud.

Amar Pared berkata anak-anak syarikat milik kerajaan negeri harus meneroka pasaran pelancongan berasaskan kesihatan (health tourism) yang semakin mendapat perhatian pelancong.

Beliau menyifatkan usaha ini penting bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Pulau Langkawi.

“Bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Pulau Langkawi, kerajaan negeri turut disarankan mengoptimum penggunaan tanah-tanah di Pulau Langkawi untuk pembangunan pelancongan berasaskan pertanian (agrotourism),” katanya.

Amar Pared mencadangkan kerajaan negeri memperkenal geran-geran atau bantuan kepada pengusaha pelancongan berasaskan ‘agrotourism’ yang layak bagi tujuan pengkomersialan produk pertanian dan pelancongan.

Beliau berpandangan, inisiatif serampang dua mata ini akan merancakkan lagi industri pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan jumlah tanah terbiar yang tidak diusahakan dan pada masa sama dapat memenuhi permintaan pasaran produk pertanian.

Langkawi mencatat sejumlah 3.924 juta orang pelancong pada tahun 2019 sebelum pandemik COVID-19; menurun kepada 1.7 juta pada tahun 2020; 1.09 juta pada tahun 2021; 2.57 juta pada tahun 2022 dan 2.81 juta pada tahun 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini