comscore
Tumpuan :
Nasional

Lantik lebih ramai etnik Dayak sebagai Timbalan Menteri

Kenyataan Media Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Sarawak daripada etnik Dayak sudah membuktikan kebolehan, malah ada dalam kalangan mereka yang sudah berkhidmat selama beberapa penggal sebagai Ahli Parlimen serta Senator.

Atas dasar itu, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong penuh cadangan agar lebih ramai Ahli Parlimen daripada etnik tersebut dilantik sebagai Timbalan Menteri di dalam barisan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, barisan pemimpin daripada etnik minoriti seperti Bidayuh, Lun Bawang, Kayan, Kenyah, Melanau dan Iban perlu diberikan peluang untuk bersama-sama terlibat dalam Kerajaan Persekutuan.

“Antara Ahli Parlimen yang boleh diberi pertimbangan termasuklah Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo-Bidayuh), Datuk Henry Sum Agong (Lawas-Lun Bawang), Datuk Hajah Hanifah Taib (Mukah-Melanau), Datuk Anyie Ngau (Baram-Kayan/Kenyah), Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rejang-Iban) dan Datuk Seri Sophia Brodie (Sri Aman-Iban).

“Hampir kesemua mereka pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri dan seorang daripada mereka juga pernah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara. Pengalaman luas barisan pemimpin ini perlulah dilihat sebagai pertimbangan untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri di dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Ahli Parlimen daripada komuniti Cina Sarawak juga perlu diberi peluang untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri termasuk calon daripada parti DAP.

Menurutnya, formasi sebegini akan mencerminkan perpaduan dalam kalangan pemimpin berbilang kaum di negara ini di bawah pentadbiran ‘Kerajaan Perpaduan’.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kapit itu berkata, sebagai pemimpin yang mewakili etnik Dayak di dalam GPS, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membawa sentimen dan harapan masyarakat Dayak Bumi Kenyalang ke Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, beliau memahami sepenuhnya bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai hak untuk memilih dan memutuskan sesiapa sahaja yang dirasakan layak untuk menjawat jawatan Timbalan Menteri.

Sehubungan itu, Datuk Seri Alexander percaya dengan kebijaksanaan Perdana Menteri dalam memperhalusi dan mempertimbangkan perkara tersebut.

“Saya percaya Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg yang juga Pengerusi GPS berkongsi pandangan yang sama dengan saya mengenai perkara ini. Kejayaan cemerlang Abang Jo (Tan Sri Abang Johari) dalam menerajui Sarawak adalah kerana gaya dan citarasanya yang inklusif dan tentunya pemahaman sepenuhnya tentang hakikat bahawa Sarawak adalah negeri yang sarat dengan kepelbagaian meliputi aspek kaum, bahasa, budaya, agama dan komposisi,” katanya.

Beliau berharap sesiapa yang dipilih sebagai Timbalan Menteri harus mengambil amanah terbabit dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti.

Ia demi memastikan agenda pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan dengan jaya.

Loading...
Terkini