JOHOR BAHRU: Lapan anak kapal tangki Silver Sincere yang karam, pada kedudukan 2.1 batu nautika barat daya Abu Bakar Maritime Base (ABMB) petang semalam telah berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pemangku Pengarah Maritim Johor, Kepten Kama Azri Kamil berkata, anggota maritim yang bertugas di ABMB mengesan sebuah kapal tangki yang melepaskan flare kecemasan dan memohon bantuan melalui radio pada jam 4.40 petang sebelum melaporkan kejadian kepada Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru.
Berikutan itu katanya, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada jam 5.00 petang.
“Kapal Maritim (KM) NIAH diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Bantuan aset juga telah disalurkan kepada Markas Wilayah Laut Satu (MAWILLA 1) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam satu kenyataan.
Akhirnya kesemua lapan krew terbabit berjaya diselamatkan kira-kira 5.45 petang.
Difahamkan selepas kapal terbabit karam, lapan orang kru kapal tangki yang terdiri dari warga Indonesia bertindak meninggalkan kapal dengan menaiki rakit kecemasan.
Mereka kemudian diselamatkan oleh sebuah kapal kargo berdaftar Indonesia, Intan Daya 368. yang kebetulan berada berhampiran.
Difahamkan nakhoda kapal terbabit telah memindahkan kru dari kapal yang tenggelam dan diturunkan di Batu Ampar, Indonesia.
Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) turut membantu usaha mencari dan menyelamat.
MPA juga mengaktifkan kapal tunda penyelamat untuk fasa pemulihan kapal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.