comscore
Tumpuan :
Jenayah

Lapan individu terlibat rumah urut dan persundalan ditahan

GEORGE TOWN: Polis menahan lapan individu termasuk empat wanita warga asing kerana terlibat dalam kegiatan rumah urut dan persundalan, dalam lima serbuan di sekitar daerah Timur Laut semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata dalam serbuan di lima pusat urut, iaitu masing-masing dua di Lebuh Chulia dan Batu Feringghi serta satu di Gelugor, dan mendapati kesemuanya beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Dalam serbuan itu, empat pusat urut tersebut diusahakan oleh warga tempatan dan polis menahan dua wanita serta dua lelaki, kerana menjalankan perniagaan rumah urut tanpa lesen.

“Manakala sebuah lagi rumah urut yang diserbu itu, diusahakan oleh seorang wanita warga asing, dia bukan sahaja menjalankannya tanpa lesen yang sah, malah gagal mengemukakan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Soffian berkata dalam siri serbuan itu, polis turut menahan tiga wanita warga asing di sebuah rumah urut di Gelugor, disyaki menjalankan kegiatan persundalan dan salah guna pas lawatan sosial untuk tujuan bekerja, manakala majikan mereka iaitu lelaki tempatan yang ditahan turut disiasat, kerana menggaji warga asing tanpa permit kerja yang sah.

Beliau berkata semua mereka berusia 23 hingga 60 tahun itu, direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan dan polis turut merampas antaranya telefon bimbit, botol minyak urut, krim ubat, tisu basah dan wang tunai RM1,430 dalam siri serbuan tersebut. – BERNAMA

Loading...
Terkini