comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Lapan lelaki mengaku bersalah ceroboh tanah rezab Sungai Klang

FOTO hiasan.

SHAH ALAM: Lapan lelaki temasuk tiga warga asing mengaku bersalah di tiga Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas satu pertuduhan melakukan pencerobohan di Tanah Rezab Sungai Klang, minggu lepas.

Ng Teck Loon, 44; M. Sugan, 35; M. Kumaran, 44; Tee Soon Beng, 55; J. Thiagarajan, 45; warga India, Amritpal Singh, 25; dan dua warga Indonesia, Muhammad Siddiq, 24, serta Rajul Fuddahri, 20.

Bagaimanapun, tiga lagi tertuduh iaitu S. Sathishkumar Subramaniam, 34; H. Shivaneswaran, 28, dan Anis Ahmad Hanifah, 45, masing-masing mengaku tidak bersalah.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa telah melakukan pencerobohan jenayah dengan niat hendak melakukan kesalahan di Tanah Rezab Sungai Klang di Seksyen 36, pada 11.30 pagi, 9 Mei lepas.

Mereka membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu, Faizah Abd Sani dan Muhammad Syafiq Sulaiman, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan, denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga majistret menetapkan jaminan sebanyak RM3,000; RM2,000 dan RM1,500 kepada lapan tertuduh warga tempatan, manakala tiga tertuduh warga asing tidak dibenarkan ikat jamin.

Mahkamah turut menetapkan 1 dan 16 Jun depan untuk fakta kes, jatuh hukum dan sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Erneetha Kaur Baghwant Singh, Nurul Farah Sofea Norazman, Saidah Fasihah Che Yussoff dan Kamarul Iman Ahmad Sapian, manakala beberapa tertuduh diwakili peguam antaranya Farith Emier Farhan, Harvind Ramar, Salehudddin Salam dan Jason Anthony. – BERNAMA

Loading...
Terkini