comscore
Tumpuan :
Nasional

Lapangan terbang Malaysia catat 8.7 juta penumpang bulan lalu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Lapangan terbang Malaysia memberi perkhidmatan kepada 8.7 juta penumpang udara pada Ogos 2024, pertumbuhan 12.7 peratus daripada 7.7 juta penumpang yang dicatatkan pada Ogos 2023, mencerminkan pertumbuhan kukuh yang berterusan untuk kedua-dua sektor antarabangsa dan domestik.

Bagaimanapun, pada asas bulan ke bulan trafik udara menurun 1.5 peratus daripada 8.8 juta penumpang pada Julai 2024, menurut kenyataan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) hari ini.

“Walaupun terdapat sedikit penurunan bulanan, pertumbuhan tahunan yang kukuh menunjukkan pemulihan yang mantap dalam sektor ini.

“Dengan pemulihan kapasiti tempat duduk antarabangsa, pengecualian visa untuk pasaran utama, dan pengenalan laluan baharu, kami optimistik terhadap kemampuan sektor ini untuk memenuhi unjuran trafik penumpang tahunan MAVCOM,” kata Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Menurut MAVCOM pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh lonjakan dalam perjalanan antarabangsa, dipacu oleh peningkatan penerbangan dan pengenalan laluan baharu.

Laluan baharu yang dilancarkan pada Ogos termasuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Ningbo, Karipur, dan Guwahati, serta penerbangan dari Kota Kinabalu ke Ningbo dan Bali.

Di samping itu, pengenalan pengecualian visa untuk pelancong dari China dan India, ditambah dengan laluan baharu ini, telah mendorong peningkatan trafik antarabangsa, menjadikan jumlah trafik Ogos 2024 mencapai 90.2 peratus daripada paras trafik yang direkodkan pada Ogos 2019, dengan laluan antarabangsa memimpin pemulihan.

Ia berkata, trafik penumpang udara domestik pada Ogos 2024 mencatatkan 4.2 juta penumpang iaitu sebanyak 48.6 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Ini menunjukkan penurunan 1.3 peratus bulan ke bulan berbanding Julai 2024 tetapi meningkat tahun ke tahun sebanyak 2.2 peratus berbanding Ogos 2023, dengan pencapaian 84.7 peratus daripada trafik Ogos 2019 yang berjumlah 5.0 juta,” katanya.

MAVCOM turut melaporkan trafik penumpang udara antarabangsa menyumbang 51.4 peratus daripada jumlah keseluruhan, dengan 4.5 juta penumpang pada Ogos 2024, dan 2.3 juta disumbangkan oleh penumpang rantau antarabangsa bukan ASEAN, manakala baki 2.2 juta adalah dari rantau ASEAN.

“Rantau antarabangsa bukan ASEAN mencatatkan pertumbuhan tertinggi berbanding rantau lain, dengan peningkatan sebanyak 34.6 peratus tahun ke tahun.

“Secara keseluruhan, trafik penumpang udara antarabangsa mencatatkan penurunan bulan ke bulan sebanyak 1.7 peratus tetapi peningkatan tahun ke tahun yang ketara sebanyak 24.7 peratus, mencapai 96.1 peratus daripada paras Ogos 2019, menunjukkan pemulihan yang hampir menyeluruh,” katanya.

Lapangan-lapangan terbang utama juga mencatatkan pertumbuhan positif dalam trafik penumpang udara berbanding Ogos 2023, kata MAVCOM.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 20.1 peratus, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mencatatkan kenaikan 11.9 peratus, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi naik 8.3 peratus

Manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus dan 9.0 peratus.

Sementara itu, bagi tahun setakat hari ini, penumpang antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 25 peratus.

Ia berkata, bagi lapan bulan pertama 2024, jumlah trafik penumpang udara terkumpul mencapai 64.1 juta penumpang, selari dengan unjurannya, dengan trafik antarabangsa terus menjadi pemacu utama, menyumbang sebanyak 51.4 peratus daripada jumlah trafik penumpang setakat tahun ini, manakala trafik domestik menyumbang 48.6 peratus. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini