KAJANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meminta orang ramai yang mengetahui atau melihat kenderaan diklasifikasikan sebagai tidak boleh digunakan atau ‘total lost’ namun masih berada di atas jalan raya supaya segera membuat laporan kepada pihaknya atau polis.
Ini kerana tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu menjadi kesalahan mengikut undang-undang apabila mengguna pakai kenderaan diklasifikasikan sebagai tidak boleh digunakan kerana mengalami kerosakan teruk selepas direkodkan terbabit kemalangan jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata pihaknya mengambil serius isu itu dan sedang menyiasat berhubung dakwaan terbabit.
“Saya menasihatkan individu atau mana-mana pihak yang tahu atau melihat kenderaan seperti itu supaya membuat laporan kepada pihak polis dan JPJ bagi membolehkan siasatan dilakukan jika terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan semula kenderaan dikategorikan sebagai ‘total lost’ itu,” katanya selepas tinjauan hari pertama pelaksanaan Program Khas Peralihan Lesen Memandu (LMM) Kelas B2/B1 kepada LMM Kelas B di sebuah institut memandu di sini, hari ini.
Baru-baru ini, tular mesej individu di aplikasi Telegram mendakwa saudaranya terserempak dengan keretanya yang sudah tidak boleh digunakan tetapi berada di jalan raya.
Semakan dilakukan individu terbabit menerusi aplikasi MyJPJ juga mendapati cukai jalan kenderaan itu yang diisytihar sebagai rosak sepenuhnya sejak 12 tahun lalu masih aktif.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa