comscore
Tumpuan :
Nasional

Lapor salah laku pemandu lori di #MYJalan

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, melakukan tinjauan dan pemeriksaan bagi mengesan lori yang membawa lebih muatan di Jalan Simpang Bakun-Empangan Bakun di Bintulu, hari ini. – Foto: Alexander Nanta Linggi/ Facebook

PETALING JAYA: Penduduk dan pengguna jalan raya diminta melaporkan mana-mana pemandu lori yang membawa muatan berlebihan menerusi aplikasi MYJalan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ia bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil segera.

Dalam satu hantaran di Facebook, hari ini beliau berkongsi hasil tinjauan keadaan di Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun FT803 yang mengalami kerosakan disebabkan banyak lori lebih muatan menggunakan laluan berkenaan dengan kerap.

”Saya mendapat laporan, lori-lori ini sengaja melanggar peraturan malah ada pihak bertindak memotong gantri yang dipasang untuk menghalang mereka menggunakan laluan berkenaan.

”Saya telah berbincang satu kerjasama dengan penduduk tempatan selain memohon bantuan pengguna jalan raya yang lain untuk melaporkan segera tindakan sedemikian.

“Mereka digalak merakam gambar perbuatan menyalahi peraturan ini dan melaporkannya menerusi aplikasi MYJalan supaya kita dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,”menurut hantaran itu.

Antara lori yang dikesan membawa lebih muatan di Jalan Simpang Bakun-Empangan Bakun, Bintulu. – Foto: Alexander Nanta Linggi/ Facebook

Jelas beliau, bagi Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun FT803, Kementerian Kerja Raya (KKR) secara keseluruhan meluluskan peruntukan berjumlah RM7.5 juta untuk membaiki turapan jalan yang rosak teruk berpunca daripada kelemahan struktur permukaan jalan.

“Peruntukan itu antara lain membabitkan pembaikan segera kerosakan jalan yang kritikal dan pemasangan gantri serta papan tanda jalan had berat muatan yang dibenarkan.

“KKR merancang melebarkan sebahagian jalan membabitkan laluan memotong di lokasi sesuai demi keselesaan pengguna, bergantung kepada kelulusan dalam Belanjawan 2024,” katanya.

Alexander berkata, KKR memerlukan RM30 juta untuk menaik taraf laluan dan memberi jaminan akan berusaha mendapatkan peruntukan berkenaan demi keselesaan serta keselamatan pengguna.

Menerusi Kempen #MYJalan KKR yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 24 Ogos lalu, satu tindakan menyeluruh sedang dilaksanakan membabitkan Kementerian Pengangkutan.

Antara lain, ia bertujuan mencari penyelesaian jangka panjang dan memastikan isu kerosakan jalan disebabkan kenderaan lebih muatan dapat dikurangkan.

Loading...
Terkini