Tumpuan :
Nasional

Laporan analisa ‘sandwic ham dan cheese’ diserahkan kepada KPDN

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Keputusan laporan sampel produk ‘sandwic ham dan cheese’ yang dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa Isnin lalu, kini diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, semua pihak perlu menunggu pengumuman daripada KPDN terhadap sampel yang telah dihantar.

“Berkaitan dengan isu terkini ataupun tentang apa yang berlaku di Universiti Malaya (berkaitan) ‘ham dan cheese sandwic’, saya maklumkan di sini bahawa Hal Ehwal Pengguna (HEP) KPDN telah menghantar sampel tersebut.

“Kita sama-sama tunggu pengumuman daripada KPDN sendiri hasil daripada ujian kimia yang dibuat terhadap makanan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) kali ke-15 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Isnin lalu, media melaporkan sampel produk ‘sandwic ham dan cheese’ yang didapati menyalah guna logo halal, sudah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisa, bagi mendapatkan laporan status ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, berkata ujian itu dibuat bertujuan untuk mengesan sama ada terdapat DNA babi dalam produk makanan berkenaan atau sebaliknya.

Beliau berkata, pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) terhadap syarikat yang disiasat berkaitan produk sandwic sudah dibuat untuk pembuktian kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini