KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2024 mengesyorkan agar langkah intervensi segera dilaksanakan bagi memastikan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) termasuk projek lewat jadual (sakit), dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Menurut laporan itu, berdasarkan prestasi pelaksanaan projek pembangunan RP4 (rolling plan) RMK-12 pada 26 Ogos 2024, sebanyak 169 projek atau 4.3 peratus berstatus Lewat Jadual (Sakit), 114 projek (2.9 peratus) bersatus Lewat Jadual dan 258 projek (6.5 peratus) berstatus Tiada Kemajuan.
Sehubungan itu, LKAN turut mengesyorkan supaya Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Jabatan (Pegawai Pengawal) membuat pemantauan yang lebih rapi dan berterusan.
“Ia bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan di bawah RMKe-12 dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025 seperti mana yang telah dirancang.
“Kementerian dan jabatan bertanggungjawab hendaklah mengemas kini maklumat dalam sistem MyProjek dari semasa ke semasa bagi memastikan prestasi pelaksanaan projek dilaporkan dengan tepat,” menurut laporan itu yang dibentangkan di Parlimen hari ini.
Selain itu, LKAN melaporkan sehingga akhir tahun 2023, sebanyak 2,442 projek atau 29.5 peratus adalah di peringkat pasca pelaksanaan, 3,404 projek (41.1 peratus) sedang dalam pelaksanaan, 2,323 projek (28.1 peratus) di peringkat pra pelaksanaan manakala 110 projek (1.3 peratus) adalah berstatus batal dan disimpan dalam perhatian.
LKAN turut menyatakan prestasi perbelanjaan projek bagi tempoh 2021 hingga 2023 adalah sebanyak RM231.920 bilion, iaitu melebihi peruntukan RM222.756 bilion yang diluluskan bagi tempoh yang sama.
Menurut laporan itu, jumlah tersebut mencecah 55.9 peratus daripada jumlah siling peruntukan sebanyak RM415 bilion bagi tempoh RMK-12 selepas Kajian Separuh Penggal RMK-12.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.