comscore
Tumpuan :
Nasional

Laporan berita TV3, 8TV peroleh pengiktirafan Anugerah Media Agrobank 2023/2024

Wartawan TV3, Kumaran Rajamoney (kanan) dan Penerbit Money Matters (8TV Mandarin), Yap Ai Hoon.

KUALA LUMPUR: Laporan berita dan dokumetari perbankan dan sekuriti makanan terbitan TV3 dan 8TV diiktiraf apabila menerima anugerah pada Anugerah Media Agrobank 2023/2024 di sini, malam ini.

Wartawan TV3, Kumaran Rajamoney mendapat tempat ketiga dalam kategori Anugerah Sains dan Teknologi Pertanian (Rakan Tani Muda Agrobank Terbaik).

Penerbit Money Matters ( 8TV Mandarin), Yap Ai Hoon pula mendapat tempat ketiga bagi kategori Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian (Dokumentari Terbaik).

Pemenang membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM1,000.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Mustapa Omar; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkap Pengarah Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Media Prima Berhad, Kamaruddin Mape.

Terdahulu Tengku Ahmad Badli Shah menerusi ucapannya berkata, pihaknya berbesar hati untuk memberi pengiktirafan kepada media yang banyak menerbitkan liputan berita yang positif, tepat, dan holistik tentang Agrobank.

Beliau berkata, menerusi laporan-laporan berita itu, ia meningkatkan dan menyokong imej Agrobank sebagai sebuah Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang berperanan penting terutamanya dalam pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

“Anugerah Media Agrobank pada tahun ini adalah salah satu usaha kami untuk memartabatkan bidang penulisan dan kewartawanan melalui penyertaan karya yang berkaitan pertanian atau fungsi, peranan serta inisiatif Agrobank.

“Agrobank berharap media akan terus bersemangat untuk mendorong diri dalam memartabatkan industri kewartawanan serta menghasilkan karya yang berkualiti walau apapun cabaran yang dihadapi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini