comscore
Tumpuan :
Nasional

Laporan Buku Thomas, Dakwaan Badan Peguam tidak berasas – Wan Junaidi

PETALING JAYA : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan dakwaan Badan Peguam berhubung kesaksamaan dan keupayaan siasatan Pasukan Petugas Khas (PPK) mengenai buku kontroversi bekas peguam negara Tommy Thomas secara tidak berpihak, sebagai tidak berasas.

Beliau mendedahkan pasukan siasatan itu pernah memberikan peluang dan menjemput Badan Peguam untuk memberikan pandangan berhubung isu berbangkit dalam buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” itu, namun ia enggan mengambil bahagian.

“Bagi memastikan setiap pandangan diambil kira, pasukan petugas telah mengambil inisiatif menjemput wakil daripada pihak mereka bagi memberikan pandangan terhadap isu-isu berbangkit dalam buku tulisan Tommy Thomas ini namun mereka enggan mengambil bahagian dalam sesi konsultasi.

“Saya ingin menegaskan bahawa metodologi, perkara-perkara yang diteliti dan pihak yang terlibat dalam sesi konsultasi serta pihak yang enggan memberikan kerjasama telah disenaraikan dalam laporan dan ini juga menjadi contoh bagaimana PPK telah melaksanakan tanggungjawab secara terbuka dan tidak berpihak,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Badan Peguam menyatakan bimbang dengan penyahklasifikasian laporan mengenai dakwaan yang dibuat oleh bekas peguam negara dalam memoir tulisannya dan mempersoalkan kesaksamaan pasukan petugas yang menyiasat dakwaan itu.

Presidennya, Karen Cheah berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengakui bahawa beliau menyahklasifikasi laporan itu supaya ia boleh digunakan sebagai “peluru” politik untuk menyerang pembangkang.

“Pengakuan terang-terangan itu, jika benar, menimbulkan persoalan tentang niat baik dalam penubuhan pasukan petugas khas dan sama ada laporan itu tidak memihak dan boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan.

Cheah berkata pendekatan yang sepatutnya adalah melalui penyiasatan bebas di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata PPK ditubuhkan melalui persetujuan mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Dis tahun lalu sebagai sebuah pasukan mencari dan mengesahkan fakta serta melaksanakan analisis mendalam terhadap setiap pemerhatian.

Katanya, ia sebelum semua dapatan dirumuskan dalam laporan yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 30 September 2022.

“Semua ahli PPK telah menjalankan tanggungjawab hampir lapan bulan secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak dan semua penelitian serta dapatan yang dikemukakan adalah berpandukan kepada 19 sesi konsultasi yang diadakan bersama pelbagai pihak berkepentingan.

“Di samping itu, PPK juga telah meneliti pelbagai maklumat dan dokumen yang dibekalkan oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

Laporan siasatan pasukan petugas khas terhadap buku yang diterbitkan pada Januari tahun lalu itu, mengkategorikan 19 isu penting kepada empat isu utama, iaitu dakwaan ke atas badan kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian profesional serta kenyataan berbaur hasutan. -BULETIN TV3

Loading...
Terkini