comscore
Tumpuan :
Nasional

Laporan Ketua Audit Negara dibahas di Dewan Rakyat buat kali pertama 

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, membentangkan usul membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) buat pertama kalinya di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina berkata, kerajaan memperakui dan memandang serius isu dibangkitkan dalam LKAN, selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan menteri berkaitan meneliti perkara dibangkitkan.

Beliau berkata, segala isu membabitkan ketirisan, ketidakpatuhan kepada peraturan, tidak mematuhi syarat dan kelemahan dalam perancangan perlu diteliti dan diambil pengajaran supaya tidak berulang dalam pelaksanaan aktiviti, program atau projek di masa hadapan.

Katanya, LKAN juga membangkitkan isu ketakteraturan serius dalam perakaunan, penjagaan wang awam atau simpanan awam serta pengurusan aktiviti kerajaan dan syarikat kerajaan yang memerlukan tindakan berkesan daripada kementerian, jabatan dan agensi diaudit.

“Kita menyedari cabaran dihadapi Ketua Audit Negara dalam melaksanakan mandat dan tanggungjawab memerlukan perhatian serius daripada pihak berkaitan manakala syor utama dalam LKAN perlu dilaksanakan dengan berkesan.

“Dalam Ketua Audit Negara melaksanakan mandatnya, Dewan yang mulia ini meminta semua pihak bersatu hati dan menyokong kerajaan agar dapatan audit dan syor dalam LKAN dapat diambil tindakan serius oleh pihak terbabit.

“Ia untuk mengatasi kelemahan ditemui, seterusnya mengelak ketirisan wang awam daripada terus berlaku,” katanya.

LKAN 2021 dibentang pada 16 Februari lalu, merangkumi LKAN 2021 Siri 2 mengenai Aktiviti Kementerian atau Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan; LKAN 2021 mengenai Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan serta LKAN 2021 Siri 2 mengenai Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Loading...
Terkini