comscore
Tumpuan :
Nasional

[LAPORAN KHAS] Majikan, pekerja perlu seiring elak suasana ‘toksik’ di tempat kerja


Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Persekitaran tempat kerja yang toksik bukan satu isu yang boleh dipandang enteng terutamanya golongan majikan dan pekerja.

Kegagalan mewujudkan suasana yang kondusif akan memberi kesan terhadap produktiviti syarikat termasuk menjejaskan motivasi dan kesihatan mental pekerja.

Lebih menggusarkan, ia tidak hanya terhenti di tempat kerja, malah dikhuatiri mampu memberi tempias negatif kepada institusi kekeluargaan.

Buli, gosip, pilih kasih, fitnah, diskriminasi, kegagalan komunikasi, dan gangguan seksual.

Itu antara jenis toksik yang didapati wujud dalam suasana pekerjaan sehingga mengundang kepada pelbagai implikasi negatif terhadap golongan pekerja.

Kajian sebuah firma pengambilan pekerja di negara ini mendapati, 41 peratus dari 500 responden yang ditemui; terpaksa berhenti kerja selepas berhadapan isu tersebut.

“Nombor yang agak membimbangkan sebab bila kita bercakap pasal toksik di tempat kerja ini walau sedikit apapun dia terjadi, dan ada implikasi yang besar terhadap pekerja punya prestasi, kesejahteraan dan kebanyakan kes ada kesan jangka pendek dan jangka masa panjang.” kata Pakar Psikologi Gunaan dan Kesejahteraan, Dr. Siti Khadijah Zainal Badri kepada Buletin TV3.

Temubual lebih 15 orang awam secara rawak turut mengakui, mereka berhadapan dengan persekitaran tempat kerja yang toksik.

Bagi mereka yang berdepan situasi berkenaan, ada yang terpaksa mendapatkan bantuan pakar kesihatan psikologi bagi memulihkan trauma yang dialami.

“Perkara-perkara itu telah memberi kesan kepada staf punya moral, dan dalam masa kurang setahun lebih 30 orang telah meninggalkan organisasi.

“Ia memberi kesan kepada semua warga kerja punya moral selepas seorang demi seorang pergi meninggalkan tempat tersebut.” dedah Jay Zim, mangsa ‘toksik’ di tempat kerja kepada Buletin TV3

“Saya seorang yang kuat dan apabila kena marah itu perkara biasa, cuma apa yang saya lalui adalah bila saya rasa diri ini tidak cukup. Rasa seolah tidak diperlukan, selalu marah dan rasa macam baik saya pergi dari tempat ini.

Mangsa-mangsa persekitaran toksik di tempat kerja.

“Jadi dia memberi kesan kepada saya sampai saya rasa tak mahu pergi kerja langsung.” luah Ain Ahmad yang juga mangsa ‘toksik’ di tempat kerja.

Tidak adil salahkan majikan semata-mata berkenaan isu ‘toksik’ di pejabat

Dalam pada itu, menyalahkan majikan semata-mata juga adalah tidak adil.

Sebaliknya pekerja juga perlu profesional dalam tugasan tanpa berkompromi terhadap hak mereka.

“Ada juga toksik itu datang dari pekerja itu sendiri, ada pekerja yang tidak mahu bekerjasama, mementingkan diri dan mengganggu pekerja lain dan sebagainya.

“Ini juga menyukarkan pekerjaan lain untuk bekerja yang selesa. Jadi majikan dan pekerja harus melihat satu keadaan yang harus ditangani dengan baik supaya ada keadaan menang-menang.” ujar Datuk Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF)

Luah rasa terpendam dianiaya di tempat kerja

Kemahiran komunikasi turut penting bagi mengatasi masalah berkenaan.

Selain bantuan pakar, perasaan yang terpendam juga perlu diluahkan terutamanya kepada rakan yang dipercayai.

Ia bagi mengelakkan risiko kemurungan dan kebimbangan melampau oleh mereka yang terasa dianiaya.

“Keganasan rumah tangga ke apa, you punya perasaan itu tak bagus dan bila you pergi kerja walaupun kita nak kerja bagus tetapi perasaan memang dah kurang.

“Bila dah kurang, fokus saya dah lari, mungkin saya buat mistake, kalau bos marah, terkena lagi emosi. Memang berat dalam fikiran, lama-lama badan tidak boleh tahan you akan nampak isu mental health keluar.” kata Dr. Valerie Jaques, Pakar Psikologi Klinikal.

Dr. Valerie Jaques, Pakar Psikologi Klinikal.

Lapor kepada KESUMA jika ditindas, elak jadi lebih buruk

Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia KESUMA menegaskan, isu berkenaan perlu ditangani secara efisyen antara majikan dan pekerja bagi mengekang situasi lebih memudaratkan.

“Perlu diberi perhatian yang amat serius oleh majikan dan peranan yang sama perlu dimainkan oleh pekerja pekerja untuk tidak menimbulkan suasana yang tidak harmoni.

Datuk Seri Khairul Dzaimee, Ketua Setiausaha KESUMA yang ditemui secara eksklusif bersama Buletin TV3.

“Ia memberi kesan kepada produktiviti sesebuah syarikat dan jika terlalu banyak syarikat atau industri dengan toksik ini kesan kepada negara. Apabila produktiviti industri tidak meningkat ia menjejaskan produktiviti negara.

“Jadi ia satu kes yang kita anggap serius memberi kesan kepada ekonomi.” tegas Datuk Seri Khairul Dzaimee, Ketua Setiausaha KESUMA secara eksklusif kepada Buletin TV3.

Tahun lalu sahaja, KESUMA melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan menerima sebanyak 171 kes pertikaian perusahaan di tempat kerja.

Daripada jumlah itu, perlanggaran hak-hak pekerja dan ketidakadilan dalam amalan perburuhan direkodkan sebagai kes tertinggi berbanding tahun sebelumnya.

Manakala, 30 laporan kes gangguan psikososial pekerja diterima Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sejak 10 tahun yang lalu.

“Kita lihat pada statistik ini mungkin tidak tinggi sebab kebanyakkan hasil daripada dialog dan pertemuan ini, kadang-kadang pekerja ini tidak mempunyai keberanian untuk membuat laporan secara rasmi kepada pihak berkuasa kerana bimbang kalau buat aduan nanti apa akan jadi dengan nasib mereka sedangkan mereka dilindungi dibawah undang-undang.” ujarnya.

Justeru, langkah pencegahan perlu diambil dengan mengubah budaya konflik kepada kolaboratif sebagai penyelesaian.

Majikan dan pekerja perlu memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran kondusif dengan menangani isu kecil lebih awal daripada terus memberi kesan kepada jangka panjang.

Selain perlu persiapkan diri dengan pengetahuan berkenaan undang-undang pekerjaan supaya dapat melaksanakan hak dan tanggungjawab dengan beretika dan profesional.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini