KUALA LUMPUR: Laporan siasatan insiden tanah jerlus yang mengakibatkan seorang wanita hilang pada 23 Ogos lalu mendapati bangunan dan kawasan Jalan Masjid India selamat dikunjungi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Pasukan Khas Insiden Tanah Jerlus Masjid India, hari ini.
Mesyuarat dipengerusikan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Mohamad Hamim dengan dihadiri wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Indah Water Konsortium (IWK), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), Institusi Jurutera Malaysia (IEM) serta Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS).
“Menerusi mesyuarat terbabit, kesemua agensi melaporkan hasil dapatan masing-masing. Berdasarkan laporan itu didapati bahawa kejadian tanah jerlus adalah bersifat setempat.
“Merujuk kepada maklumat geologi dan rekod penyiasatan tanah sedia ada, lokasi insiden terletak atas formasi ‘Kenny Hills’ dan secara amnya terdiri daripada selang lapis batuan schist, phyllite serta quartzite,” kata kenyataan itu.
Pihak DBKL kini sedang mengecilkan kawasan kejadian sepanjang 160 meter bermula dari Wisma Yakin hingga Pondok Polis Jalan Masjid India kepada kawasan timbunan baharu membabitkan tiga bahagian.
Kawasan terbabit adalah dari susur masuk tempat letak kereta bawah tanah Wisma Yakin sehingga simpang Jalan Masjid India/Lorong Bunus 1; kawasan mendapan kedua di hadapan Pondok Polis Masjid India dan sebahagian Lorong Tuanku Abdul Rahman 3.
Pada 23 Ogos lalu, G Vijaya Lakshmi yang berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita berkenaan dijalankan selama sembilan hari membabitkan pelbagai agensi keselamatan termasuk kerjasama daripada DBKL dan IWK, namun gagal menemui mangsa.
Susulan itu, operasi pencarian dihentikan pada 31 Ogos lalu selepas mengambil kira faktor keselamatan pasukan operasi SAR.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, tindakan selanjutnya di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India akan diteruskan dengan proses pemulihan (search and recovery).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.