Tumpuan :
Nasional

Larangan pemanduan kenderaan barangan, penurunan had laju sempena Tahun Baru Cina

 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menguatkuasakan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan (Road-Ban) untuk memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan jalan raya, sempena sambutan Tahun Baru Cina 2025.

Langkah itu diambil berikutan peningkatan ketara dalam jumlah kenderaan persendirian yang akan pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan.

Larangan itu akan berkuatkuasa selama empat hari, iaitu pada 27 dan 28 Januari 2025 (sebelum perayaan) serta pada 1 dan 2 Februari 2025 (selepas perayaan).

Keputusan dibuat bagi mengelak kesesakan lalu lintas yang sering berlaku apabila kenderaan barangan bercampur dengan kenderaan persendirian, yang boleh meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

“Selain itu, Perintah Penurunan Had Laju Kebangsaan turut akan dikuatkuasakan dari 28 Januari hingga 2 Februari 2025, bertepatan dengan pelaksanaan Op Selamat yang dianjurkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Langkah bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan MOT.

JPJ juga akan meningkatkan penguatkuasaan di seluruh negara melalui Operasi Tahun Baru Cina (TBC) 2025, yang akan dilaksanakan bersama agensi penguatkuasaan lain.

Operasi bagi memastikan pematuhan terhadap larangan pemanduan kenderaan barangan serta perintah penurunan had laju.

Pengguna juga diseru untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan memastikan keselamatan diri serta orang lain semasa memandu, terutamanya semasa musim perayaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini