comscore
Tumpuan :
Nasional

Lari sekatan, polis tahan suspek dalam senarai dikehendaki 

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki dalam senarai orang dikehendaki, kerana disyaki terbabit melarikan diri daripada pemeriksaan sehingga memaksa Unit Rondaan Bermotosikal (URB)  melepaskan sembilan das tembakan di Laman Rimbunan, Jalan Kepong, di sini, baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, lelaki tempatan berusia 40 tahun itu ditahan di sekitar Kajang, Selangor, kelmarin.

“Suspek berada dalam pemerhatian kami kerana disyaki terbabit banyak kes pecah rumah.

“Setakat ini siasatan kami mendapati kedua-dua suspek terbabit tiada pembabitan dengan kumpulan kongsi gelap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, susulan kejadian itu, polis mencari seorang lelaki bernama O Ganesan.

Bagaimanapun lelaki berkenaan bukannya suspek, sebaliknya hanya dianggap sebagai individu  untuk membantu siasatan.

Dalam kejadian pada 7 Ogos lalu,  tiga anggota URB melepaskan sembilan das tembakan ke arah sebuah Proton Wira dinaiki dua suspek yang enggan berhenti untuk pemeriksaan di Laman Rimbunan, Jalan Kepong.

Anggota polis terbabit mengejar kenderaan dipandu suspek bermula dari Taman Pusat Kepong sehingga Laman Rimbunan, Jalan Kepong  yang sesak menyebabkan suspek mengundurkan kereta dan melanggar   seorang anggota URB.

Video kejadian memaparkan tiga anggota polis melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta di jalan yang sesak itu, tular di media sosial.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, pihaknya sedang giat mengesan seorang lagi suspek terbabit dan siasatan dianggarkan sudah 60 peratus selesai.

Katanya, lelaki yang ditahan kini direman lima hari  hingga 14 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh) dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan (menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam).

Artikel berkaitan : [VIDEO] Polis lepaskan 9 das tembakan ke arah kereta suspek

Loading...
Terkini