comscore
Tumpuan :
Nasional

Lat ingatkan anak seni promosi budaya, perpaduan dalam berkarya

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mengurniakan watikah gelaran Seniman Diraja kepada Kartunis tersohor negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat hari ini. – Foto: NSTP

KUALA KANGSAR : Kartunis tersohor negara, Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat menyifatkan pengurniaan Watikah Gelaran Seniman Diraja oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai pembakar semangat kepada golongan kartunis supaya terus mempromosikan budaya dan mesej perpaduan dalam karya mereka.

Kurniaan itu juga katanya  pengiktirafan besar terhadap kerjaya anak seni khususnya kartunis tempatan.

Beliau menerima anugerah itu pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Baginda di Istana Iskandariah, di sini.

“Semua cabang seni sama ada pelukis, penyanyi atau pelakon sama seperti atlet sukan yang mahu menaikkan nama negara di samping mencari nafkah keluarga kita.

“Walau apa sekali pun, kita haruslah bekerja dan berbakti untuk negara.

“Apabila teringat tempat asal, barulah kita fikir tentang identiti kita,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada 8 Julai lalu, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan gelaran Seniman Diraja kepada Lat, 71, pada Majlis Perasmian Galeri Rumah Lat, Batu Gajah.

Ia adalah pengiktirafan atas sumbangan besar lagi bermakna oleh seniman agung itu memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa.

Pada 1968, ketika berusia 16 tahun, siri komik beliau ‘Keluarga Si Mamat’ diterima oleh Tan Sri A Samad Ismail (ketika itu Pengarang Berita Harian) untuk disiarkan dalam akhbar Berita Minggu setiap minggu dan berlanjutan selama 26 tahun.

Lat mula dikenali sebagai kartunis editorial yang menggarap tema sosiopolitik pada  1975 menerusi ruangan ‘Scenes of Malaysian Life’ dalam akhbar The New Straits Times (NST).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini