KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan lawatan beliau ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November lalu menyerlahkan semula “sinaran” Malaysia di persada dunia.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar yang selamat tiba di tanah air hari ini berkata lawatan sepanjang 11 hari itu penuh bermakna tatkala Malaysia terus melangkah dengan keyakinan dan penuh tawaduk.
Beliau berkata lawatan berkenaan antaranya bagi memenuhi undangan rasmi dan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatan dari 19 negara telah mengeratkan hubungan antarabangsa dan membuka jalan kepada peluang baharu untuk kemakmuran rakyat dan negara ketika landskap geopolitik dunia sarat dengan ketidaktentuan.
“Dalam pelbagai pertemuan rasmi dan dialog itu, usaha tertumpu kepada aspek memantapkan kerjasama dalam pelaburan, perdagangan, dan inisiatif bersama yang bermanfaat dan dirasai oleh rakyat khususnya serta komuniti ASEAN amnya.
“Apa yang paling berharga bukanlah semata-mata pencapaian atau perjanjian yang termeterai, tetapi semangat kebersamaan dan sikap masyarakat antarabangsa yang mengambil serius pandangan Malaysia, sebuah negara yang sentiasa tegas mendukung nilai keinsanan, keadilan, menjulang kecemerlangan serta inklusif,” kata beliau.
Menerusi hantaran sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau akan menerima kunjungan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam di Putrajaya esok, sebelum berangkat ke Korea Selatan pada Ahad bagi meneroka peluang ekonomi baharu dan mengukuhkan kerjasama yang sedia erat antara kedua-dua negara.
“Saya dan pasukan juga sedang merangka persiapan menerima kunjungan rasmi barisan pemimpin utama dari pelbagai negara pada Disember nanti, insya-Allah.
“Doakan agar setiap usaha ini terus diberkati dan menjadi asas trajektori baharu masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia. Saya dan pasukan kerajaan MADANI akan terus mendengar, berkhidmat dan mengangkat darjat serta martabat rakyat serta negara di persada dunia,” kata Anwar. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.